Pencalonan kini dibuka!

Persatuan Usahawan dan Industri ICT Bumiputera Malaysia (NEF) dan Astro AWANI (Astro Saluran 501) sekali lagi bekerjasama untuk menganjurkan Anugerah ICT NEF-AWANI ke-3. Pada tahun ini, Anugerah ini disokong oleh New Entrepreneurs Foundation (myNEF).

Acara kemuncak penyampaian hadiah kepada pemenang adalah pada 20 Disember 2013 dan akan disiarkan secara langsung di Astro AWANI (Astro Saluran 501). Selain itu penonton televisyen akan dapat melihat aksi calon-calon cuba memenangi hati jemaah hakim dalam sesi “pitching” yang mana pelbagai soalan akan ditujukan oleh panel hakim untuk dijawab dengan sempurna oleh calon-calon yang terpilih.

Anugerah NEF-Awani

Anugerah ICT NEF-AWANI ke-3 ini telah menjadi satu platform untuk usahawan-usahawan ICT dan Kreatif menonjolkan produk dan servis mereka. Tiga kategori baru yang dipertandingkan ialah Perniagaan e-Dagang Terbaik, Kategori Usahawan ICT Wanita Terbaik dan Selebriti Pilihan. Kategori-kategori ini bukan sahaja akan mengembangkan lagi industri ICT dan Kreatif di negara ini tetapi ia bakal menjadi satu anugerah kombinasi hiburan dan juga perniagaan. Di samping memberi pengiktirafan kepada syarikat tempatan, anugerah ini juga bakal memberi penghargaaan kepada individu yang berjaya di bidang ICT.

Anugerah ICT NEF-AWANI adalah satu anugerah yang bersifat inklusif. Selain memberikan pengiktirafan kepada syarikat ICT tempatan, ia turut memberi penghargaan kepada syarikat-syarikat yang menggunakan ICT sebagai teras perniagaan mereka.

Dalam kategori ICT, terdapat 7 anugerah yang sedia untuk direbut:

1. Perisian Terbaik
2. Penyelesaian ICT Terbaik Untuk SME’s
3. Animasi/Permainan Terbaik
4. Aplikasi/Kandungan Telefon Mudah Alih & Media Baru Terbaik
5. Usahawan ICT Muda / Startup Terbaik
6. Perniagaan e-Dagang Terbaik
7. Usahawan ICT Wanita Terbaik

Untuk kategori inklusif pilihan rakyat, calon-calon terdiri daripada produk dan servis yang telah berjaya meninggalkan impak yang besar kepada orang ramai. Pada tahun ini, fokus diberikan kepada syarikat atau individu tempatan sahaja.

Anugerah dalam kategori ini adalah:

1. Penyelesaian e-Servis / e-Kerajaan Pilihan Ramai
2. Perbankan Dalam Talian Pilihan Ramai
3. Portal/Blog Hiburan Pilihan Ramai
4. Selebriti@ICT Tempatan Pilihan Ramai
5. Syarikat Telekomunikasi Pilihan Ramai
6. Komuniti Tempatan Dalam Talian Pilihan Ramai

Orang ramai dipelawa untuk mencadangkan calon-calon dan orang ramai juga dijemput untuk mengundi calon pilihan mereka di laman Joota Anugerah ICT NEF-AWANI. Pemenang untuk kategori ICT dipilih berdasarkan 10 peratus undian orang ramai dan 90 peratus undi para juri. Manakala pemenang bagi kategori pilihan rakyat dipilih 100% daripada undian orang ramai.

Pencalonan kini sudah dibuka sehingga 27 September 2013. Pencalonan boleh dilakukan menerusi www.nef.org.my

Untuk maklumat lanjut, sila lawat laman web www.nef.org.my atau sertai kami di facebook di www.facebook.com/NEFAwaniICTAwards.