Pengarah Iltizam Pintar Sdn. Bhd., Dr. Muhammad Fauzy Hyffny, berkata produk itu dihasilkan sebagai usaha menangani masalah kesihatan kronik yang berpunca daripada pengambilan gula berlebihan.
Menurutnya, penglibatannya dalam industri makanan bermula apabila beliau melihat peningkatan kes kencing manis dalam kalangan pesakit muda di pusat dialisis.
“Ketika menguruskan sistem dialisis, kami mendapati ada pesakit berusia 17 hingga 18 tahun sudah menghidap kencing manis. Selain faktor keturunan, pemakanan juga memainkan peranan penting dalam masalah ini,” katanya.
Jelasnya, shugaZERO dihasilkan dari tebu, namun menggunakan teknologi khas yang membuang komponen tertentu seperti fruktosa, menjadikannya sesuai untuk pesakit kencing manis.
“Proses pertama menghasilkan gula biasa. Namun, dalam proses kedua, mesin kami mengasingkan fungsi tertentu gula seperti fruktosa. Pemanis ini juga dilengkapi kemudahan fungsian makanan untuk meningkatkan rasa hidangan,” jelasnya.
BaseFood sebagai sebuah syarikat tempatan yang memfokuskan kepada teknologi dan bioteknologi juga memiliki makmal penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta fasiliti pengeluaran sendiri.
Makmal ini membolehkan mereka mengawal sepenuhnya proses inovasi dan pengeluaran produk seperti shugaZERO serta memastikan kualiti sentiasa terjamin.
Selain shugaZERO, BaseFood turut menawarkan rangkaian produk vegan seperti keju vegan, mayo vegan, patty vegan, dan kopi vegan yang juga mengandungi pemanis shugaZERO untuk dibekalkan di beberapa cawangan makanan segera iaitu RIGHTSIDE.
Ketika ini, syarikat memberi tumpuan kepada pasaran perniagaan-ke-perniagaan (B2B) namun, pengguna juga boleh mendapatkan produk mereka di platform e-dagang seperti Shopee dengan produk utama termasuk TapTap dan Sugalose.
Matlamat utama BaseFood adalah menjadikan shugaZERO mampu dimiliki oleh semua golongan masyarakat, termasuk golongan B40.
“Kami tidak mahu produk ini hanya untuk golongan berada. Dari segi harga, kami cuba kawal supaya ia mampu dijual pada harga yang berpatutan,” ujarnya.