PUTRAJAYA: Pelaburan digital Malaysia meningkat kepada RM66.22 bilion pada separuh pertama tahun ini, menunjukkan pertumbuhan kukuh dan daya tahan ekonomi digital walaupun terdapat ketegangan geopolitik global.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata ia merupakan pencapaian yang ketara, melepasi pelaburan digital bagi tempoh setahun untuk 2023 yang berjumlah RM46.2 bilion.

Beliau menyifatkan trajektori menaik yang kukuh itu disebabkan keyakinan pelabur dan unjuran pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.0-5.0 peratus tahun ini.

"Aliran masuk pelaburan ini mencipta 25,498 pekerjaan pada separuh pertama 2024, melepasi jumlah 22,258 dicatatkan pada 2023. Sektor digital terus menjadi kuasa untuk pekerjaan berkemahiran tinggi dan berpendapatan tinggi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi eksport digital, Gobind berkata usaha kementerian melalui perkongsian dan program padanan perniagaan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menjana peluang eksport bernilai lebih RM1.93 bilion.

Ia melibatkan 228 syarikat dari 11 negara iaitu Indonesia, Filipina, Kemboja, Turkiye, Sepanyol, Arab Saudi, Jepun, Taiwan, Kenya, Tanzania dan United Kingdom dan mewakili peningkatan lebih 43 peratus daripada peluang eksport bernilai RM1.35 bilion yang dijana pada separuh pertama 2023, katanya.

Gobind berkata inisiatif DEX Connex MDEC di Filipina dan Indonesia serta misi perniagaan telah menyumbang dengan ketara kepada peluang eksport pada separuh pertama 2024.

"Perlu diberi perhatian bahawa pusat data dan syarikat teknologi awan secara kolektif menyumbang bahagian terbesar nilai pelaburan digital merentas semua sektor.

"Syarikat Teknologi Maklumat (Infotech) dan Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) menerajui pewujudan pekerjaan digital. Mereka masing-masing bersaing menubuhkan pusat kecemerlangan dan operasi GBS bernilai tinggi mereka di Malaysia," katanya.

Beliau berkata sebanyak 451 syarikat teknologi telah dianugerahkan status Digital Malaysia (MD) pada separuh pertama 2024 (2023: 256 syarikat).

"Daripada jumlah ini, 39 peratus adalah syarikat asing yang menyumbang kepada pelaburan langsung asing manakala 61 peratus adalah syarikat tempatan," katanya.

Gobind berkata syarikat berstatus MD berhak mendapat banyak insentif, hak dan keistimewaan daripada kerajaan tertakluk kepada kelulusan diperlukan dan pematuhan syarat dikenakan.

Faedahnya termasuk insentif cukai kompetitif dan pengecualian duti import serta cukai jualan terhadap pengimportan peralatan multimedia, akses kepada pekerja yang mempunyai pengetahuan menyentuh perkara-perkara tempatan dan asing, pengecualian daripada keperluan pemilikan tempatan serta akses kepada kemudahan pembiayaan.

-- BERNAMA