KUALA LUMPUR: Kerajaan boleh menaikkan paras hutangnya bagi menambah baik kesejahteraan rakyat dan memastikan agenda pemulihan ekonomi negara berada di landasan, namun perbelanjaan perlu berhemat.

Ahli-ahli ekonomi merasakan semakan semula sasaran defisit bukan suatu yang tidak dijangkakan kerana kerajaan ketika ini perlu mendahului situasi iaitu menyediakan sokongan dan rangsangan kepada ekonomi di tengah-tengah kemajuan perlahan pelaburan daripada sektor swasta.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata sifat kejutan yang dihadapi negara ketika ini adalah berpunca daripada krisis kesihatan yang akan mengambil masa untuk mereda.

Oleh itu, kerajaan perlu menetapkan keutamaan yang sewajarnya, dan dalam hal ini, rancangan untuk mengurangkan jurang belanjawan perlu ditangguhkan, katanya.

"Ia bukanlah mengenai kemampuan kerajaan untuk meminjam tetapi lebih kepada apa program yang boleh benar-benar membantu rakyat mengharungi cabaran semasa terutamanya mereka yang kehilangan pekerjaan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta perniagaan lain yang bergelut untuk membayar hutang mereka, membayar sewa atau perbelanjaan lain disebabkan masalah aliran tunai," katanya kepada Bernama.

Kementerian Kewangan pada Khamis mengumumkan sasaran defisit disemak semula kepada enam peratus daripada 5.4 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi 2021 setelah mengambil kira langkah pakej rangsangan ekonomi 2020 yang masih berterusan, serta pakej bantuan PERMAI dan PEMERKASA yang diumumkan pada suku pertama tahun ini.

Sehubungan itu, hutang berkanun Kerajaan Persekutuan dianggarkan meningkat daripada 58 peratus pada 2020, kepada 58.5 peratus pada akhir 2021.

"Ini kekal di bawah had statutori hutang sebanyak 60 peratus daripada KDNK yang telah diluluskan oleh Parlimen pada Ogos 2020.

"Profil hutang negara kekal teguh dengan lebih dari 90 peratus hutang Kerajaan diterbitkan dalam Ringgit, disokong oleh ketersediaan kecairan domestik yang banyak, serta pinjaman dengan tempoh matang yang panjang yang menyokong fleksibiliti pembiayaan," kata kementerian itu dalam satu kenyataan selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis.

Dalam satu kajian yang dibuat oleh Bank for International Settlements, ambang hutang kerajaan sebelum ia boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi adalah 85 peratus daripada KDNK.

Menurut Mohd Afzanizam, kerajaan mempunyai kemampuan mengumpulkan dana dari pasaran modal.

"Setakat ini, sambutan pasaran setiap kali kerajaan mengeluarkan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) atau Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII), ianya akan sentiasa mendapat lebihan langgan, menunjukkan bahawa terdapat permintaan yang baik daripada pelabur bon/sukuk," katanya.

Daripada segi perbelanjaan, penganalisis ekonomi, Profesor Datuk Shazali Abu Mansor berkata kerajaan perlu memperuntukkan wang tersebut untuk perbelanjaan segera yang melibatkan projek kecil di seluruh negara seperti kerja pembaikan longkang, pengecatan semula bangunan sekolah dan memulihkan perkhidmatan Internet.

Beliau ketika mengulas mengenai bantuan kewangan kepada rakyat memberitahu pekerja bergaji harian harus menjadi keutamaan.

"Tidak mengapa mempunyai hutang yang tinggi (semasa wabak ini) tetapi kerajaan perlu bertanggungjawab. Lebih banyak kita berbelanja, lebih pantas ekonomi akan berkembang," katanya lagi.

Shazali berharap pinjaman dibuat di dalam negara sebanyak mungkin bagi mengekalkan ekonomi sirkular dan untuk mengelakkan kejatuhan nilai ringgit disebabkan aliran keluar dana.

Selain menambah pinjaman, beliau menyarankan kerajaan mempertimbangkan untuk menokok pendapatan melalui sistem cukai, menaikkan kadar cukai ke atas 20 kategori pendapatan tertinggi, melaksanakan cukai keuntungan luar biasa terhadap industri yang meraih faedah besar daripada krisis COVID-19 dan memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tetapi bagi barangan terpilih.

Sementara itu, Pengurus Kewangan Awam Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi, Sri Murniati Yusuf menjelaskan apabila kerajaan memutuskan untuk menaikkan tahap hutang, peruntukan bagi membayar hutang malahan akan lebih tinggi.

Akibatnya, peruntukan hutang yang lebih tinggi akan memberi kesan kepada peruntukan untuk keperluan penting yang lain pada masa depan seperti menguruskan sekolah, hospital, dan jalan raya.

"Sudah tentu, kita harus memberi perhatian bahawa peratusan ini secara automatik naik dengan peningkatan hutang.

"Ia boleh turun sekiranya ekonomi mencatatkan pertumbuhan yang lebih baik dan kerajaan meningkatkan lebih banyak hasil. Oleh itu, pertumbuhan ekonomi adalah salah satu faktor utama dalam memastikan hutang yang mampan.

Selain menyalurkan bantuan kepada golongan rentan, beliau berpendapat kerajaan harus merangka dasar yang efektif untuk mengurang jurang digital serantau dan perbezaan wilayah secara umum yang cuba ditangani oleh kerajaan dalam beberapa dekad yang lalu.

Dasar yang berkesan memerlukan kerajaan persekutuan untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri, katanya.

"Keberhasilan dasar berkenaan bagi mengatasi pandemik ketika ini dan memulihkan ekonomi selepas krisis tersebut akan memerlukan penyelarasan erat antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri," katanya.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam laporan Fiskal Monitor April 2021, menyatakan bahawa defisit dan hutang kerajaan telah meningkat ke tahap yang belum pernah berlaku sebelum ini, berikutan sokongan fiskal utama selain penurunan mendadak hasil yang disebabkan oleh kemerosotan pengeluaran.

Ia berkata purata defisit fiskal secara keseluruhan sebagai sebahagian daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2020 mencapai 11.7 peratus bagi negara maju, 9.8 peratus bagi ekonomi pasaran sedang pesat membangun, manakala 5.5 peratus bagi negara membangun berpendapatan rendah.

Hutang awam global meningkat kepada 97.3 peratus daripada KDNK pada 2020, naik 13 mata peratusan daripada tahap yang diunjurkan sebelum pandemik tersebut.

Laporan itu menyatakan bahawa banyak pasaran sedang pesat membangun dan negara membangun menghadapi masalah pinjaman terutamanya negara yang mempunyai hutang tinggi, keperluan pembiayaan kasar yang besar, dan hutang dalam nilai mata wang asing atau hutang luaran yang besar.

-- BERNAMA