KUALA LUMPUR: Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur hari ini seiring dengan pasaran niaga hadapan getah serantau dalam keadaan ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kata seorang peniaga.

Peniaga itu berkata niaga hadapan getah Jepun lebih rendah pada Isnin, dipengaruhi oleh kejatuhan harga minyak dan prospek permintaan yang lemah daripada pengguna utama China, walaupun harga getah sintetik yang lebih kukuh memberikan sedikit sokongan kepada pasaran.

"Harga minyak susut pada awal dagangan di Asia pada Isnin berikutan kebimbangan terhadap permintaan yang lemah daripada pengimport minyak utama China menjejaskan sentimen pasaran, manakala pelabur pula memberi tumpuan kepada rundingan gencatan senjata di Timur Tengah yang boleh mengurangkan risiko bekalan.

"Bagaimanapun, kejatuhan selanjutnya dihadkan oleh gangguan bekalan getah asli disebabkan ramalan cuaca di Thailand," katanya kepada Bernama.

Pada 5 petang, harga minyak mentah Brent turun 0.51 peratus kepada US$79.27 setong.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) turun tiga sen kepada 778 sen sekilogram, manakala susu getah pukal naik 1.5 sen sekilogram kepada 631 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan LGM bagi GMM 20 fizikal berada pada 778.50 sen sekilogram, manakala susu getah pukal pada 631.00 sen sekilogram.

-- BERNAMA