NAZA World, yang membuka bilik pameran NAZA Bikes 3S di Phnom Penh, Kemboja, berharap untuk menguasai lebih 10 peratus daripada bahagian pasaran di negara ini atau 30,000 unit, dalam masa tiga tahun ini.

Pengerusi eksekutif kumpulan NAZA Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin berkata kumpulan merancang untuk menubuhkan kilang unit terurai (CKD) dalam tempoh yang sama, untuk mencapai sasaran jualan itu.

"NAZA Bikes mula merancang kemasukan ke Kemboja dua tahun lepas.

"Kami memilih Kemboja sebagai titik permulaan berdasarkan penyelidikan meluas atas pasaran, budaya dan peluang yang ada di pasaran negara itu bagi syarikat kami," katanya kepada satu sidang media mengenai pelan perkembangan syarikat itu di sini hari ini.

SM Faisal berkata kumpulan itu telah melabur RM1.5 juta untuk membangunkan bilik pameran 7,000 kaki persegi yang dimiliki sepenuhnya oleh NAZA World.

Bilik pameran di Phnom Penh dijangka dibuka pada minggu pertama bulan depan. Ia akan menawarkan model motosikal popular NAZA Bikes iaitu NZ 125R, NAZA Blade 250, dan NAZA Blade 650.

Beliau berkata kumpulan itu menyasarkan untuk melantik 20 hingga 30 pengedar di negara itu tahun depan.

Dengan Kemboja sebagai penanda aras, NAZA Bikes merancang untuk memasuki pasaran Indonesia, Vietnam, Myanmar dan Laos sepanjang dua tahun depan.

NAZA Bikes adalah anak syarikat NAZA World.