MyScreen Malaysia Sdn Bhd akan melabur RM8 juta untuk menubuhkan kemudahan studio sendiri bagi produksi video kreatif.

Bercakap kepada Bernama pada Jumaat, Ketua Pegawai Eksekutifnya Shazwan Mohammad berkata studio berkenaan akan terletak di dalam Taman Teknologi Malaysia di Bukit Jalil, di mana lokasi operasi semasanya.

"Studio kami akan membimbing pemaju kandungan kreatif," kata beliau pada pelancaran awal platform media sosial di sini.

MyScreen Malaysia mempunyai 27 pekerja dan hasil program penyelidikan dan pembangunan yang meluas dalam tempoh tiga setengah tahun serta pelaburan sebanyak RM1.9 juta.

Platform berkenaan menempatkan pelbagai saluran kandungan berkualiti oleh pemaju kandungan kreatif tempatan.

MyScreen akan menampilkan empat unsur utama iaitu berita, saluran rencana, kelab kreatif dan kreatif biasa.

Shazwan berkata platform berkenaan akan menjadi saluran penyiaran Malaysia yang bertanggungjawab dan boleh dipercayai untuk menyediakan berita dan juga untuk menemui dan membimbing pemaju kandungan berbakat di negara ini.

Dengan pelancaran platform berkenaan, Myscreen Malaysia menjangka dapat menarik trafik bulanan sebanyak dua juta lawatan unik, yang akan melibatkan kos syarikat itu kira-kira RM500,000 dalam perbelanjaan infrastruktur awan.

Shazwan berkata syarikat itu sedang berbincang dengan agensi-agensi kerajaan bagi mereka mengadakan akaun untuk kementerian mereka.

"Pada masa ini, kami tidak memberi aplikasi kepada semua orang. Mereka yang akan mendapatkannya dahulu ialah selebriti, media dan tokoh masyarakat. Mereka ini adalah orang yang akan memegang hak untuk rakaman, dan mereka hanya boleh memuat naik video mereka dalam akaun masing-masing," katanya.

Shazwan berkata terdapat rancangan untuk mengeksport kepakaran syarikat ke rantau Asean, khususnya Brunei, Singapura dan Indonesia, melalui konsep francais.

"Platform kami dibuka untuk pelaburan," katanya.