Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan menggunakan rumusan daripada kajian mengenai 'Masa Depan Pengeluaran' untuk merangka strategi bagi menghadapi gelombang dari Revolusi Industri Keempat (Industri 4.0).

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata kajian yang sedang dijalankan oleh kementerian itu akan diselesaikan menjelang suku ketiga 2017.

"Ia bertujuan untuk memberi analisis mendalam mengenai lima pemangkin dan industri serta sub sektor yang mempunyai potensi pertumbuhan yang tinggi," katanya selepas menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MOU) antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Rockwell Automation (M) Sdn Bhd di sini hari ini.

BACA: Malaysia akan ketinggalan jika abaikan industri 4.0

Antara sektor-sektor yang dikaji adalah kejuruteraan, elektrik, bahan kimia, aeroangkasa, perubatan, jentera dan peralatan.

"Kami akan mengumumkan cadangan pada suku ketiga tahun ini dan kami mengalu-alukan pandangan serta maklum balas tentang bagaimana untuk membawa agenda Industri 4.0 ke hadapan," katanya.

Katanya, Industri 4.0 adalah penting untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan perindustrian termasuk sasaran ekonomi negara sebanyak RM2 trilion dalam 7 atau 8 tahun akan datang seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sekarang ini, keluaran dalam negara kasar negara berjumlah kira-kira RM1.2 trilion.

"Beberapa sub-sektor di Malaysia adalah sejajar dengan Industri 4.0, seperti sektor elektrik, elektronik, aeroangkasa dan kereta.

"Konsep seperti Kilang Masa Depan, Platform Inovasi Terbuka Internet Pelbagai Perkara, Pengoperasian Antara Data, Proses Pengeluaran Bersepadu dan Pintar serta Infrastruktur Digital sedang digunakan secara meluas dalam sektor-sektor kecil ini," katanya.

Di samping kajian itu, Mustapa berkata, kementerian terbabit juga sedang dalam perbincangan dengan agensi-agensi berkaitan, termasuk Unit Perancang Ekonomi, Akademi Sains Malaysia, penggiat industri, pusat latihan dan pelabur-pelabur antarabangsa, untuk membangunkan sebuah Industri 4.0 negara yang komprehensif.

Sementara itu, menurut Mustapa, kerajaan telah mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion bagi Dana Strategik Pelaburan Domestik di bawah Rancangan Malaysia ke-11.

"Ini akan membantu MIDA mempercepatkan peralihan syarikat tempatan ke dalam industri yang tinggi nilai tambah, teknologi terbaharu, berintensifkan pengetahuan dan berteraskan inovasi,'"katanya.

Beliau berkata sebanyak 235 projek, bernilai RM11.5 bilion, telah menerima geran berjumlah RM995.8 juta pada September 2016, termasuk RM548.2 juta dalam geran permodalan dan RM47.5 juta untuk pelesenan serta pembelian teknologi baru dan tinggi.

"Perkongsian MIDA-Rockwell itu telah menjadi satu langkah yang penting ke arah perundingan dalam bidang automasi.

"Pertukaran MOU ini selanjutnya ini akan menggalakkan perkongsian pengetahuan teknikal dan pemasaran untuk kebaikan bersama pihak yang berkepentingan," katanya.

-- BERNAMA