AIA Berhad, syarikat insurans terkemuka di Malaysia menyatakan ia akan membuat bayaran ex-gratia kepada waris penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 yang menjadi pelanggan syarikat itu, dengan mengecualikan sekatan khas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Bill Lisle berkata syarikat itu atas dasar prihatin telah memutuskan untuk memansuhkan semua sekatan khas atau pengecualian bagi kematian akibat keganasan, perang atau situasi seperti perang dalam polisinya kerana ia tahu tuntutan itu adalah tulen.

"Selepas tragedi menimpa MH17, kami bersedia untuk menghulurkan sebarang bantuan kepada keluarga mereka dalam pesawat malang itu," katanya dalam kenyataan.

Lisle berkata pemegang polisi kemalangan peribadi yang terbabit juga akan dibayar.

AIA, katanya telah menghubungi anggota keluarga untuk menawarkan bantuan serta menghantar cek tuntutan dan mengumpulkan butiran penerima yang diperlukan sejak dua minggu lepas.

Anggota keluarga boleh menghubungi AIA di talian 1300-88-8860/70, 24 jam sehari atau e-mel ke members@aia.com untuk maklumat lanjut berhubung polisi insurans dibeli oleh anggota keluarga mereka yang terbabit dalam nahas MH17.

Penerbangan MH17 terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai semasa dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur bersama-sama 283 penumpang dan 15 anak kapal.

Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh di negara bergolak itu.