Measat Satellite Systems Sdn Bhd menjangka mencatatkan pendapatan lebih tinggi sebanyak US$136 juta (RM437.72 juta) pada akhir tahun, disokong oleh pelancaran satelit komunikasi terbaharunya,
MEASAT-3b.

Ketua Pegawai Eksekutif Paul Brown-Kenyon berkata syarikat memajakkan 50 peratus kapasiti satelit baharu itu kepada Measat Broadcast Network Systems dan Newsat Australia, dan menjangkakan kapasiti penuh akan dipajakkan pada akhir tahun.

Beliau berkata tahun lepas, syarikat meraih US$99 juta (RM319.18 juta) pendapatan daripada tiga satelit sedia ada, iaitu MEASAT-1, MEASAT-3 dan MEASAT-3a.

"Menjelang akhir 2015 atau awal 2016, kami akan melancarkan satu lagi satelit, MEASAT-3c. Ini menjadikan unjuran pendapatan 2017 kami kepada US$260 juta (RM836.82 juta)," katanya kepada pemberita pada lawatan media ke MEASAT Teleport and Broadcast Centre di sini hari ini.

Brown-Kenyon berkata MEASAT-3b merupakan satelit terbesar syarikat ketika ini dan ia akan memperluaskan sokongan Measat bagi perkhidmatan satelit telekomunikasi dan penyiaran di Malaysia, Indonesia, Australia dan Asia Selatan.

Beliau berkata MEASAT-3b, dengan jangka hayat 15 tahun, mempunyai 48 transponder, setiap satunya menyediakan 36 megahertz (Mhz) jalur lebar, menjadikan kapasiti satelit Ku-Gelombang syarikat kepada 84 transponder berbanding 36, pada masa ini.

Satelit baharu bernilai US$350 juta (RM1.12 bilion), yang ketika ini berada di European Spaceport di Kourou, French Guiana, dijadual dilancarkan pada 29 Mei.

"MEASAT-3b dan satelit MEASAT-3c yang akan datang akan diletakkan di lokasi sama dengan satelit MEASAT-3 dan MEASAT-3a pada slot orbit 91.5 darjah Timur.

"Ini akan menjadikannya lokasi orbit satelit paling kukuh dan dipercayai di Asia," katanya.

Hari ini, syarikat mengendalikan kapasiti merentasi lima satelit dengan rangkaian mencapai 150 negara, mewakili 80 peratus daripada populasi dunia.

Di masa depan, Brown-Kenyon berkata syarikat menumpukan kepada pertumbuhan berterusan melalui pengembangan kumpulan dengan pelancaran satu satelit pada setiap satu atau dua tahun.

"Selain MEASAT-3c, kami telah merancang tiga satelit baharu, iaitu MEASAT-2a, MEASAT-3d dan AFRICASAT-1b," katanya.