KUALA LUMPUR: Penggunaan teknologi satelit mampu dimanfaatkan untuk merapatkan jurang digital di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai infrastruktur ketersambungan asas. 


Ringkasan AI
  • Penggunaan teknologi satelit oleh MEASAT Satellite Systems merapatkan jurang digital di kawasan luar bandar tanpa infrastruktur ketersambungan asas.
  • MEASAT dan Mudah Healthtech melancarkan inisiatif Sihat Xpress di Kampung Togop Darat 1, Ranau, yang membawa penjagaan kesihatan digital kepada hingga 1 juta penduduk luar bandar melalui CONNECTme NOW.
  • MEASAT menerajui jalur lebar luar bandar dengan perkhidmatan hotspot WiFi berkelajuan tinggi, membolehkan akses e-dagang dan telekesihatan di komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan.


Ketua Pegawai Komersial MEASAT Satellite Systems Sdn. Bhd., Ganendra Selvaraj berkata, ini boleh dilaksanakan antaranya dengan penawaran perkhidmatan CONNECTme NOW oleh syarikat itu.

"Teknologi satelit kami sesuai untuk mengembangkan liputan jalur lebar kepada penduduk kampung di kawasan pedalaman. Kami bermula dengan produk CONNECTme pada tahun 2018. 

“Melalui produk ini, kami telahpun menghubungkan lebih 500,000 rakyat Malaysia yang belum mendapat ketersambungan telefon, 4G atau gentian optik. Bagi menggantikan perkhidmatan asas ini, kami menggunakan satelit untuk memberikan sambungan internet kepada mereka. 

“Itu hanyalah tindakan permulaan. Bagi mengembangkan impak infrastruktur digital di kampung, kami juga memulakan program dan inisiatif lain seperti e-dagang dan telekesihatan dengan matlamat untuk merapatkan jurang digital antara penduduk bandar dan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.

 

MEASAT dan Mudah Healthtech melancarkan Sihat Xpress di Kampung Togop Darat 1, Ranau, membawa penjagaan kesihatan digital kepada sehingga 1 juta penduduk luar bandar melalui CONNECTme NOW. Inisiatif ini meningkatkan akses kepada nasihat perubatan di kawasan terpencil, mengubah cara penyampaian penjagaan kesihatan. – Foto MEASAT
 
Tambah Ganendra, usaha ini dapat dilaksanakan dengan memanfaatkan kekuatan MEASAT sebagai pengendali satelit utama Malaysia.

MEASAT menerajui jalur lebar luar bandar dengan CONNECTme NOW, perkhidmatan hotspot WiFi berkelajuan tinggi untuk kawasan terpencil. Ia merapatkan jurang digital dengan membolehkan akses e-dagang dan telekesihatan di komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan.- Foto MEASAT
 
“Peranan kami dalam membolehkan sambungan dan perkhidmatan digital bukan sahaja menonjolkan keupayaan teknologi pekerja warga Malaysia di peringkat global tetapi juga mengukuhkan kemerdekaan negara kita. 

“Apa yang benar-benar membezakan MEASAT ialah hubungan mendalam kami dengan Malaysia. Dengan tenaga pekerja teknikal 100 peratus rakyat Malaysia, kami memanfaatkan kepakaran dan pandangan tempatan untuk membangunkan dan menguruskan perkhidmatan yang disesuaikan dengan keperluan dan aspirasi unik negara kita,” tambahnya.


Agenda AWANI: MEASAT: Meneraju pembangunan inklusif negara