KUALA LUMPUR : Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV), anak syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) [MKD] dan agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), mengumumkan pelantikan Rizal Fauzi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) baharu berkuat kuasa 1 Ogos 2024.

Dalam satu kenyataan, MDV melaporkan, Rizal yang sebelum ini memangku jawatan KPE, mempunyai lebih 27 tahun pengalaman korporat di mana beliau telah menyandang pelbagai jawatan utama serta memacu fungsi-fungsi kritikal perniagaan syarikat.

Pelantikan Rizal berlaku selepas bekas KPE MDV, Nizam Mohamed Nadzri tamat tempoh perkhidmatan pada Februari 2024, iaitu selepas berkhidmat sebagai KPE sejak tahun 2018.

Rizal mempunyai 22 tahun pengalaman yang didedikasikan kepada MDV di mana pengalaman yang luas serta kepemimpinannya telah menyumbang kepada pembentukan hala tuju syarikat. Di MDV, Rizal pernah memegang beberapa jawatan kanan dalam Bahagian Perniagaan serta bertanggungjawab dalam pengawalseliaan perniagaan dan pemantauan projek semasa fasa pengembangan pesat syarikat.

Dengan pengalaman menyeluruh yang telah diperolehi dalam pengurusan perniagaan dan operasi, Rizal kemudiannya telah dilantik untuk mengetuai Bahagian Pengurusan Risiko MDV sebagai Naib Presiden Kanan sebelum dilantik sebagai Naib Presiden Eksekutif dengan menyandang jawatan sebagai Ketua Pegawai Risiko, Integriti & Tadbir Urus MDV dari 2018 sehingga awal 2024.

Sepanjang berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Risiko, Integriti & Tadbir Urus MDV, Rizal berperanan penting dalam mentransformasi dan memperkukuhkan rangka kerja risiko dan tadbir urus MDV, serta mengekalkan tahap integriti yang tinggi dalam segenap operasi syarikat bagi meningkatkan daya tahan serta kemampuan syarikat untuk terus berkembang dalam persekitaran perniagaan yang sentiasa berevolusi.

Sebelum menyertai MDV, Rizal pernah berkhidmat di PricewaterhouseCoopers selama lima tahun dari 1997 hingga 2001. Beliau memegang ijazah Perakaunan dan Kewangan dari De Montfort University, Leicester, UK, dan merupakan akauntan bertauliah Fellow Association of Chartered Certified Accountants (FCCA), Ahli Malaysian Institute of Accountants (MIA), dan Ahli Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA).

Pengerusi MDV Wong Chen, berkata: “Bagi pihak Lembaga Pengarah, kami mengalu-alukan pelantikan Rizal sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baru MDV. Pengalaman beliau yang luas serta pemahaman yang mendalam tentang operasi serta objektif strategik MDV adalah bertepatan dengan keperluan kepimpinan MDV dalam memacu pertumbuhan berterusan syarikat.

"Di bawah kepimpinan Rizal, kami yakin MDV akan kekal mengorak langkah untuk mencapai pertumbuhan mampan dan pada masa yang sama, terus memenuhi mandatnya bagi menyokong keperluan pembiayaan syarikat teknologi yang inovatif serta menyumbang kepada pembangunan sektor teknologi negara.”

“Pihak Lembaga Pengarah juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan Ketua Pegawai Eksekutif MDV, Nizam Mohamed Nadzri, atas segala jasa dan sumbangan beliau sepanjang berkhidmat dengan MDV. Usaha dan visi beliau telah memberikan asas kukuh untuk MDV terus cemerlang sebagai pembiaya teknologi negara, dan kami ucapkan selamat maju jaya kepada Nizam,” akhiri Wong Chen.