Program GAIN atau Global Acceleration and Innovation Network Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) dijangka mampu membantu syarikat teknologi tempatan menerokai pasaran global.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MDeC Datuk Yasmin Mahmood platform GAIN memberi tumpuan kepada empat aspek dalam membantu syarikat.

Yasmin berkata empat aspek yang diberi penekanan adalah akses pasaran, keupayaan pembangunan, risiko modal serta kekangan teknologi dan perniagaan.

Tujuan kami lakukan program GAIN adalah untuk membantu syarikat-syarikat tempatan berkembang.
“Tujuan kami lakukan program GAIN adalah untuk membantu syarikat-syarikat tempatan berkembang. Ini bukan inisiatif untuk start-ups. Ini adalah untuk mereka yang telah lama beroperasi, telah komersialkan produk mereka tetapi belum lagi mencecah pendapatan tinggi yang mereka berpotensi,” katanya dalam satu temu bual bersama Astro AWANI.

Beliau berkata, MDeC telah mengenalpasti syarikat yang mempunyai potensi untuk menembusi pasaran global.

“Kami telah kenal pasti 100 syarikat yang mempunyai potensi. Yang paling penting, mereka ada keinginan untuk ke peringkat global.

“Kalau nak mencecah RM100 juta pendapatan memang agak susah. Adalah mustahil untuk mencapainya jika mereka tidak pergi ke luar Malaysia. Mereka perlu berfikiran secara globalisasi,” katanya,

Tambahnya lagi antara program rintis yang diketengahkan menerusi GAIN adalah dengan membawa syarikat berstatus Koridor Raya Multimedia (MSC) tempatan yang berpotensi ke Silicon Valley di Amerika Syarikat.

“Kita telah membawa 21 syarikat MSC yang mempunyai potensi yang besar ke Silicon Valley sebagai salah satu program immersion.
Menarik sekali, mereka yang berada di Silicon Valley amat kagum dengan syarikat tempatan kami.


“Menarik sekali, mereka yang berada di Silicon Valley amat kagum dengan syarikat tempatan kami. Ada antara mereka mempunyai penyelesaian yang bertarafkan global. Malah, ada yang lebih baik daripada pemain-pemain besar,” kata Yasmin.

Bagi 2016, Yasmin yakin GAIN mampu membantu lebih banyak syarikat teknologi tempatan untuk bersaing dengan pemain industri di peringkat global.