Sikap tunggu dan lihat serta tidak faham kepentingan penamaan waris menjadi antara faktor masih ramai yang tidak membuat penamaan waris untuk simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka.
Pengerusi Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Cawangan Kedah, Mohd Fadzil Md Isa berkata, antara kesilapan paling besar ramai pencarum ialah menganggap ahli keluarga atau warisnya boleh melakukan sendiri tuntutan selepas pencarum meninggal dunia.
"Ramai antara mereka menggunakan konsep 'ahli keluarga pandai-pandailah sendiri' untuk menguruskan tuntutan caruman di KWSP apabila pencarum itu meninggal dunia kelak.
"Apa yang mereka tidak tahu, mereka hanya menyukarkan ahli keluarga mereka untuk menyegerakan tuntutan kerana tanpa penamaan, tempoh penyerahan tuntutan akan mengambil masa yang lebih lama," katanya kepada Bernama.
Katanya, status perkahwinan juga menjadi antara faktor ramai dalam kalangan pencarum yang berlengah daripada membuat penamaan.
"Masa bujang, penamaan tidak dirasakan penting kerana tanggungjawab tidak begitu besar dan apabila sudah berkeluarga, sibuk dan tidak ada masa untuk pergi ke pejabat KWSP. Jadi, perkara ini berterusan hinggalah sesuatu terjadi kepada pencarum," katanya.
Bukan itu sahaja, tanggapan bahawa urusan pembahagian wang simpanan di KWSP itu diuruskan secara faraid justeru tidak memerlukan penamaan juga harus diubah.
"Sebagai orang Islam, memang kita digalakkan mengikut sistem faraid dalam pembahagian harta termasuk wang caruman KWSP sekiranya berlaku kematian dan penama berperanan sebagai wasi atau pentadbir yang bertanggungjawab mengagihkan simpanan ahli yang meninggal dunia kepada waris yang berhak.
"Pun begitu, apa yang dilakukan KWSP bagi penamaan ini adalah antara langkah terbaik dalam memudahkan urusan tuntutan.
"Bila ada penamaan waris, semua pihak sudah tahu ke mana atau siapa yang berhak mendapat wang tersebut. Jadi, tidak perlu membuang masa yang lama untuk mencari waris sebelum wang caruman tersebut diagihkan mengikut sistem faraid," katanya.
Untuk itu, Mohd Fadzil menyarankan semua ahli keluarga memainkan peranan agar tidak bertangguh dalam melakukan penamaan serta menyebarkan kepentingan penamaan ini kepada generasi muda.
"Konsepnya, seperti anda mengambil insurans. Anda hanya mengetahui kepentingannya apabila sesuatu terjadi kepada diri sendiri atau ahli keluarga anda. Jadi, jangan ambil mudah dalam hal ini," katanya.
Sementara itu, seorang juruukur bahan, Nur Atiqah Che Hassan, 24, menjelaskan dia belum membuat penamaan disebabkan tidak faham dan tidak tahu cara melakukannya.
"Mungkin tiada pendedahan mengenai perkara ini memandangkan hanya saya seorang yang bekerja dalam sektor swasta berbanding ahli keluarga lain di sektor kerajaan yang menerima pencen.
"Walaupun telah mencarum sejak 2015, sampai sekarang saya masih belum melakukan penamaan dan mungkin akan melakukan selepas ini tapi tidak tahu bila," katanya.
Mohd Zulkarnain Isa, 37, pula berkata dia hanya membuat penamaan selepas mendapat anak pertama kira-kira tiga tahun lalu.
Mohd Zulkarnain yang bekerja sebagai penyenggara pesawat berkata, sebelum ini tidak pernah terlintas di fikirannya untuk membuat penamaan di KWSP kerana menganggapnya tidak penting.
"Segalanya berubah apabila anak pertama saya dilahirkan dan ada satu perasaan risau terhadap anak dan isteri sekiranya berlaku sesuatu ke atas saya pada masa depan. Selepas mendapat nasihat daripada pegawai KWSP, saya terus membuat penamaan sebagai jaminan masa depan keluarga saya," jelasnya.
Bagi seorang kerani, Shaidah Sahir, 43, tiada masa dan memilih untuk tunggu dan lihat membuatkan dia hanya membuat penamaan pada Oktober lalu.
"Selepas berbelas tahun bekerja dan mencarum, hanya Oktober lalu saya membuat penamaan. Itupun selepas digesa oleh rakan sekerja yang menyakinkan saya bahawa penamaan di KWSP sangat penting bagi mengelak timbulnya masalah agihan simpanan dalam kalangan keluarga sekiranya saya meninggal nanti," katanya.
Shaidah berkata biarpun pernah mendengar ada dalam kalangan rakan sekerjanya yang menghadapi kesukaran untuk membuat tuntutan simpanan di KWSP selepas pencarumnya meninggal tetapi ia masih tidak memberi kesan kepadanya.
"Apabila ditimbulkan persoalan apa nasib anak saya apabila saya meninggal kelak kerana dia tidak dapat menuntut dengan segera duit caruman saya itu, baru saya terfikir. Mujur masih belum terlambat dan proses melakukannya tidak sesukar mana," jelasnya.
Bagi seorang pekerja swasta, Mohd Fikri Abu Hassan, 42, pengalaman berdepan kesukaran dalam membuat satu tuntutan selepas ibunya meninggal dunia benar-benar membuka matanya untuk membuat penamaan.
"Cukup payah dan prosesnya amat panjang sekali. Sejak berdepan pengalaman itu, saya terus membuat penamaan waris bagi caruman di KWSP saya kerana tidak mahu isteri atau anak saya mengalami nasib yang sama," katanya.
Bernama
Tue Dec 26 2017
Ramai antara pencarum menggunakan konsep 'ahli keluarga pandai-pandailah sendiri' untuk menguruskan tuntutan caruman di KWSP apabila pencarum itu meninggal dunia kelak. - Astro AWANI
Jurugambar sambilan didakwa cederakan pereka fesyen Razman, Razmi
Seorang jurugambar bebas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan pereka fesyen, Razman dan Razmi, Rabu lalu.
Simpanan Shariah: KWSP perkenal akses lebih pantas, pengaktifan bulanan
Penambahbaikan berkenaan juga membolehkan pendaftaran Simpanan Shariah dibuat secara serta-merta untuk ahli baharu.
Insiden kematian kucing: Pihak universiti jalankan operasi dalaman tangani anjing liar
ACP Ku Mashariman berkata, pihak universiti itu sentiasa memaklumkan kepada polis mengenai tindakan mereka untuk membasmi anjing liar.
PABM tekad pastikan sukan angkat berat kekal bebas isu doping
Pemeriksaan mengejut oleh ADAMAS adalah antara inisiatif berterusan persekutuan itu bagi memastikan insiden doping tidak berulang.
Malaysia, Jepun perkukuh kerjasama pendidikan di bawah perkongsian strategik baharu
Anwar dan Ishiba membincangkan pelbagai inisiatif dalam sektor pendidikan termasuk penubuhan kampus cawangan University Tsukuba di Malaysia.
Empat lelaki cedera diserang sekumpulan individu bersenjatakan parang di Nilai
Kejadian membabitkan empat lelaki berumur 44 hingga 59 tahun diserang pada kira-kira pukul 10 malam.
Anwar anjur majlis makan tengah hari raikan Perdana Menteri Jepun
Hubungan Malaysia-Jepun bertambah kukuh dengan peningkatan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada Disember 2023.
Raja Permaisuri Perak berkenan lancar buku 'Women In Energy'
Buku itu bertujuan untuk meraikan sumbangan wanita dalam membentuk peralihan tenaga di Malaysia.
Amaran hujan berterusan tahap bahaya di Pahang, Johor hingga Ahad
Kawasan yang terlibat adalah Rompin, Batu Pahat, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
AWANI Ringkas: Mula dibayar 13 Januari
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
Masih ramai ambil mudah untuk membuat penamaan waris - KWSP
Sikap tunggu dan lihat serta tidak faham kepentingan menjadi antara faktor masih ramai yang tidak membuat penamaan waris untuk KWSP.