KUALA LUMPUR: Malaysia dan Mesir melihat prospek yang signifikan bagi pengembangan pasaran minyak sawit yang lebih besar melalui usaha sama dengan syarikat-syarikat Mesir dalam pemindahan teknologi, kepakaran serta modal, kata Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau juga menyeru semua peneraju perniagaan, korporat dan penggerak industri untuk merebut peluang selain mengembangkan lagi perdagangan dan kerjasama perniagaan Malaysia-Mesir ke tahap selanjutnya.

"Tahun lepas, Mesir kekal sebagai rakan perdagangan terbesar kami di rantau Afrika Utara dan telah menjadi antara enam rakan perdagangan terbesar di Malaysia di Afrika.

"Perdagangan dua hala kami meningkat sebanyak 84.4 peratus kepada hampir US$1 bilion berbanding 2020," kata Azmin semasa berucap pada majlis Makan Malam Rangkaian sempena lawatan kerja oleh Menteri Luar Negeri Mesir, Sameh Hassan Shoukry, malam tadi.

Peningkatan eksport Malaysia sebahagian besarnya disumbangkan oleh lonjakan permintaan bagi minyak sawit dan produk pertanian berasaskan sawit Malaysia, manakala peningkatan import dari Mesir merangkumi permintaan untuk buah-buahan dan produk petroleum.

Sameh Shoukry sedang dalam lawatan sulung selama tiga hari ke Malaysia bermula Isnin untuk mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara, selain mencerminkan kesatuan penyelesaian bagi meningkatkan kerjasama.

Azmin ketika bercakap mengenai pelaburan Malaysia di Mesir berkata Petronas telah melabur lebih daripada US$9.0 bilion sejak 2003, manakala Proton telah mencapai tahap baharu dengan pemasaran Exora dan Saga di negara berkenaan.

"Malaysia amat menghargai peluang yang diberikan kepada pelabur kami untuk mengambil bahagian dalam sektor minyak dan gas serta pasaran automotif Mesir," katanya.

Beliau juga menegaskan tentang kepentingan hubungan dua hala antara kedua-dua negara dan keperluan untuk memaksimumkan potensi penuh, khususnya dalam hubungan ekonomi serta perdagangan, yang mana, Malaysia dan Mesir telah bersetuju bahawa platform yang sesuai seperti Jawatankuasa Perdagangan dan Pelaburan Bersama boleh berkhidmat sebagai mekanisme yang berkesan untuk memudahkan urusan perdagangan dan pelaburan.

Sementara itu, Sameh Shoukry melahirkan minat bagi terus membangunkan hubungan perdagangan dan pelaburan, sambil membuka jalan untuk komuniti perniagaan meningkatkan hubungan komersial serta pelaburan mereka.

"Saya juga agak teruja selepas mengetahui bahawa Majlis Perniagaan Mesir-Malaysia akan diaktifkan semula dan dengan itu boleh meneruskan peranan penting dalam menonjolkan potensi perniagaan yang besar antara kedua-dua negara," katanya.

Beliau menegaskan kisah kejayaan Malaysia dalam pembangunan industri dan teknologi akan terus menjadi inspirasi untuk Mesir termasuk banyak negara lain yang sedang membangun.

"Kami melihat eksperimen Malaysia dengan penuh rasa kagum termasuk dengan mengkaji bagaimana Malaysia cuba menyesuaikan diri dengan Revolusi Perindustrian Keempat dan mengamalkan teknologi canggih," katanya.

Majlis makan malam tersebut turut dihadiri oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Lim Ban Hong dan Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar.

-- BERNAMA