Malaysia dan Indonesia akan bekerjasama menangani usaha kempen pihak tertentu yang berniat menjejaskan imej minyak tersebut di pasaran antarabangsa.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Kong berkata, satu pertemuan akan diadakan pada 28 Julai ini dengan Indonesia bagi membincangkan isu berkenaan.

"Kita akui menghadapi saingan daripada pengeluar minyak soya, namun apa yang kita kesalkan ialah terdapat kumpulan yang terus berkempen memburukkan minyak sawit kepada negara pembeli," katanya kepada media ketika ditemui pada majlis hari raya kementeriannya di sini, hari ini.

"Ini adalah isu lama yang dibangkitkan semula sedangkan kita telah melakukan banyak ujian ke atas minyak sawit untuk membuktikan penggunaannya adalah baik untuk kesihatan," katanya.

Mah berkata, bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini eksport minyak sawit ke China jatuh 50 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

"Kita perlu menyemak semula strategi eksport kita, China dulunya adalah negara pengimport minyak sawit utama dunia dan kini jatuh ke tempat ketiga... negara itu mempunyai potensi besar untuk kita," katanya.

Menurutnya, beliau juga akan ke Shanghai dan Beijing, China dalam masa terdekat untuk bermesyuarat dan menemui pembeli di sana.

"Kita akan terus berusaha meningkatkan jumlah eksport kita ke negara itu, selain turut memberi fokus kepada negara pengguna lain termasuk India, Amerika Syarikat dan negara Eropah.

"Kita berharap jumlah eksport minyak sawit negara tahun ini akan sama tahun depan atau sekurang-kurangnya naik sedikit," katanya.