Perolehan bagi tempat duduk kilometer (RASK) Malaysia Airlines naik dua peratus, tahun ke tahun, bagi suku ketiga tahun ini, berikutan perolehan penumpang yang lebih tinggi sebanyak 3.5 peratus dalam tempoh tersebut.

Dalam kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kapten Izham Ismail berkata walaupun syarikat penerbangan serantau menunjukkan trend penurunan hasil dan tekanan ke atas keseluruhan RASK, Malaysia Airlines bertentangan aliran dengan menunjukkan peningkatan dalam kedua-dua aspek tersebut.

"Walaupun tambang purata meningkat, faktor muatan tidak terjejas, kekal stabil pada 77.5 peratus.

"Mengenai masa depan, kami akan memperbaharui fokus kepada hasil dengan segmen pelanggan yang lebih jelas dan amalan pengurusan perolehan yang lebih baik," katanya.

Syarikat penerbangan itu mencatatkan hasil penumpang yang tinggi sebanyak 22.6 sen pada suku tahun itu berbanding 21.4 sen pada suku kedua 2017.

Mengenai pengembangan rangkaian, Malaysia Airlines berkata dua laluan baharu diperkenalkan pada suku tahun itu, iaitu Chongqing dan Surabaya.

"Kami menantikan ketibaan enam pesawat A330 untuk memudahkan pelan pertumbuhan, meningkatkan pengalaman pelanggan dan menjana pendapatan yang lebih baik," katanya.

Mengoptimumkan kos terus menjadi keutamaan syarikat penerbangan itu terutamanya berdasarkan kesan ke atas pertukaran asing terhadap bajet.

Sehingga 30 Sept, Malaysia Airlines mencatatkan anggaran penjimatan kira-kira RM96 juta.

Bagi suku tahun itu, syarikat penerbangan tersebut mencatatkan Prestasi Mengikut Masa (OTP) yang rendah sebanyak 70 peratus, berbanding 73 peratus pada suku kedua, disebabkan kelewatan yang tinggi susulan pesawat tiba lewat, kelewatan disebabkan sekatan kawalan trafik udara terutamanya di China dan kekangan pesawat.

-- BERNAMA