KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines memaklumkan tidak bersembunyi di sebalik tirai dalam menghadapi cabaran semasa dan syarikat terus mengekalkan komitmen terhadap keselamatan sebagai keutamaan.

Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Datuk Kapten Izham Ismail, berkata keputusan sukar telah diambil dalam tempoh tiga hingga empat tahun yang lalu bagii menyusun semula organisasi secara menyeluruh.

“Aspirasi kami untuk melaksanakan pengurangan rangkaian dalam tempoh tiga bulan akan datang adalah untuk memastikan kami keluar lebih kukuh pada tahun 2025.

“Tidak ada lagi halangan. Itulah fokus kami. Malaysia Airlines adalah syarikat penerbangan yang selamat.

“Kami tidak bersembunyi di sebalik tirai. Jika kami mendapati ada perkara yang tidak betul, kami akan berhenti dan menyemak diri sendiri,” katanya di sebuah sidang media di Pameran Pelancongan Antarabangsa MATTA Fair 2024.

Beliau turut menjelaskan bahawa syarikat menghadapi cabaran global seperti kebolehpercayaan enjin yang terjejas, dan kelewatan dalam rantaian bekalan juga memberi kesan besar kepada operasi.

“Kapasiti MRO (penyelenggaraan, pembaikan, dan baik pulih) untuk membaik pulih enjin tidak dapat kembali kepada syarikat penerbangan dalam masa yang tepat.

“Kebiasaannya, apabila kami menghantar enjin untuk baik pulih di bengkel, ia mengambil masa kira-kira 65 hingga 70 hari.

“Tetapi hari ini, OEM (Pengeluar Peralatan Asal) memulangkan enjin kepada syarikat penerbangan dalam tempoh 100 hari,” jelas beliau.

Tambah beliau Malaysia Airlines yakin bahawa segala cabaran ini akan diselesaikan menjelang Januari 2025, dan mereka mempunyai pandangan yang jelas untuk masa depan yang lebih kukuh menjelang 2030.