Tenaga Nasional Berhad (TNB) kini mempunyai Kod Tataamalan yang dapat menjamin perlindungan data peribadi pelanggannnya.

TNB dalam kenyataannya berkata syarikat itu selaku peneraju, bersama-sama anak syarikatnya Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Sarawak Energy Berhad (SEB), dapat menyiapkan kod itu dalam tempoh setahun.

Menurut TNB ia amat komited dalam melindungi semua data peribadi dan hak privasi setiap individu yang mempunyai hubungan kontraktual dengan syarikat itu.

"Dasar TNB adalah memproses data peribadi mengikut saluran undang-undang dan selaras dengan pelancaran Kod Tataamalan ini," kata kenyataan TNB di sini, malam tadi.

Kod Tataamalan berkenaan diluluskan Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi Malaysia mengikut peruntukan seksyen 23 Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (APDP).

Kod itu disediakan dalam bentuk buku setebal 58 muka surat dalam bahasa Melayu dan Inggeris dengan salinannya dipaparkan menerusi laman web Jabatan Perlindungan Data Peribadi Malaysia www.pdp.gov.my.

Pada masa ini, TNB mempunyai lebih 8.6 juta pelanggan, SESB (566,452) dan SEB (lebih daripada 600,000).