Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai menyifatkan Malaysia Airlines Bhd (MAB) sebagai bertuah kerana mendapat Kapten Izham Ismail sebagai Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAS yang baharu.

Beliau yakin Izham, 56, mempunyai kemahiran dan kemampuan untuk menerajui MAB dalam meneruskan pelan pemulihan syarikat penerbangan negara itu seperti yang digariskan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah Nasional).

"Kapten Izham merupakan kenalan lama dalam MAS dan beliau setia bersama MAS. Saya yakin beliau mempunyai banyak pengetahuan dari aspek teknikal dan pengurusan. Pengalaman beliau sangat memberangsangkan untuk meneruskan agenda transformasi MAS.

"Kita memberi sokongan penuh kepada beliau. Kita bernasib baik untuk memperoleh beliau sebagai CEO baharu dan kita percaya beliau boleh menerajui MAS ke peringkat lebih tinggi," katanya kepada Bernama semasa ditemui pada Majlis Ramah Mesra di Kampung Jambu Rias di sini pada Sabtu.

Ditanya sama ada Izham akan diberikan tempoh masa untuk membuktikan kemampuannya menerajui MAS, Liow berkata perkara itu tidak menjadi persoalan kerana agenda transformasi yang digariskan Khazanah Nasional berjalan lancar setakat ini.

"Semuanya berjalan mengikut jadual dan peletakan jawatan Peter Bellew juga tidak menjejaskan agenda itu. Jadi saya yakin tidak ada masalah atau perlunya untuk kita beri tempoh masa," katanya yang juga Anggota Parlimen Bentong.

Pada Jumaat, Lembaga Pengarah Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG) dan MAB memgumumkan pelantikan Izham yang akan berkuat kuasa 1 Dis ini bagi menggantikan Bellew yang kembali menyertai syarikat Ryanair Holdings Plc.

Izham yang merupakan anak jati Alor Setar, Kedah menyertai MAB sebagai juruterbang pada 1979 dan pada 2016 dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) selain pernah menjadi CEO MASwings.

Sementara itu mengulas mengenai tawaran syarikat Ocean Infinity untuk mencari pesawat Malaysia Airlines MH370, Liow berkata perkara itu masih tidak ada persetujuan kerana semuanya bergantung kepada hasil perbincangan antara Malaysia, Australia dan China.

"Kita belum ada sebarang kontrak (dengan Ocean Infinity). Semuanya hanya di peringkat perbincangan iaitu hanya melihat tawaran yang hendak dikemukakan mereka.

"Kita juga sudah menetapkan sebelum ini bahawa sebarang keputusan sama ada misi pencarian akan diteruskan atau tidak adalah bergantung kepada persetujuan tiga negara serta kepada data yang diperoleh," katanya.

Pesawat MH370 hilang pada 8 Mac 2014 semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju Beijing dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal.

-- BERNAMA