Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif LBS, Datuk Wira Joey Lim, berkata kejayaan diraih adalah hasil daripada dedikasi lebih 1,000 orang kakitangan yang menjadi tulang belakang kepada transformasi kumpulan.
Katanya lagi, fokus kepada pembangunan profesional kakitangan adalah kunci kepada kemajuan kumpulan dalam memastikan kesinambungan model perniagaan yang mampan.
Di bawah kepimpinan beliau, LBS juga terus mencapai pertumbuhan cemerlang, sebagaimana yang ditunjukkan melalui kadar pertumbuhan tahunan kompaun pendapatan selama tiga tahun sebanyak 18.6% pasca-COVID (2020–2023), berbanding 10.1% sebelum pandemik (2016–2019).
Bagi tahun kewangan 2023, LBS turut mencatatkan jumlah hasil tertinggi sebanyak RM1.8 bilion dengan keuntungan selepas cukai meningkat 9.7% kepada RM141 juta, menghasilkan pendapatan setiap saham sebanyak 7.75 sen.
Dalam usaha memperkukuh kedudukan kewangannya, LBS juga menerajui penerbitan Sukuk Wakalah SRI Sosial ASEAN dalam sektor hartanah Malaysia dengan penarafan AA-IS.
Selain itu, LBS turut menekankan kepelbagaian dalam tadbir urus dengan 38% perwakilan wanita dalam lembaga pengarah dan 50% ahli lembaga bebas.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif LBS, Datuk Cynthia Lim, menggariskan komitmen LBS terhadap prinsip alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG).
Penyertaan kumpulan dalam indeks FTSE4Good Bursa Malaysia membuktikan dedikasi LBS kepada kelestarian holistik.
"Kejayaan kami menerima pengiktirafan ini selama tiga tahun berturut-turut adalah bukti kepada visi transformatif LBS.
"Kami komited untuk terus memperkayakan kehidupan komuniti melalui projek inovatif yang mampan dan berkualiti tinggi," katanya.
Pelaksanaan penyelesaian tenaga solar dan sistem pengurusan sisa yang kukuh di seluruh operasi syarikat juga menjadi bukti komitmen LBS terhadap kelestarian alam sekitar.
Terdahulu, anugerah berprestij tersebut disampaikan dalam satu majlis yang berlangsung di Le Meridien, Kuala Lumpur, anjuran Deloitte Private.
Penganugerahan tersebut bertujuan mengiktiraf kecemerlangan tadbir urus, pertumbuhan berterusan, dan semangat keusahawanan.
Pencapaian itu sekaligus membuktikan dedikasi LBS terhadap kecemerlangan operasi, kemampanan kewangan, serta komitmen kepada kelestarian yang menjadi teras perniagaan kumpulan.
Dengan slogan korporatnya, "Believe, Become, Behold", LBS terus melangkah ke hadapan sebagai pemaju pilihan rakyat.