SHAH ALAM: Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) hari ini berkata kandungan laporan sebuah portal berita yang mendakwa bahawa Mesyuarat Lembaga Pengarah syarikat itu kononnya akan diadakan di luar negara, tidak memberikan gambaran yang tepat kepada orang awam.

KHSB dalam kenyataan berkata Mesyuarat Lembaga Pengarah yang dicadangkan untuk diadakan di Perth, Australia dari 23 hingga 27 Ogos 2024 itu adalah salah satu cadangan dalaman yang masih belum mendapat sebarang kelulusan daripada Lembaga Pengarah KHSB.

"Sekiranya dilaksanakan, ia merupakan sebahagian daripada delegasi teknikal bagi tujuan hakiki syarikat iaitu dalam pembangunan perumahan dan hartanah termasuk inovasi terkini yang sedang berkembang pesat dalam industri pembangunan hartanah," menurut kenyataan itu.

KHSB berkata sebagai sebuah anak syarikat kerajaan negeri, ia sentiasa kekal profesional dan komited dengan prinsip ketelusan dan integriti selain menyokong amalan tadbir urus korporat tahap terbaik dalam segenap lapisan operasi syarikat.

Sehubungan itu KHSB berharap organisasi media kekal profesional dan beretika dengan membudayakan semak silang sebelum menerbitkan berita.

-- BERNAMA