PONTIAN: Langkah Indonesia melarang eksport minyak masak ke luar negara mulai Khamis depan, dijangka memberi impak besar kepada keseimbangan permintaan dan penawaran minyak dan lemak dunia.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi II Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata langkah baharu itu yang diumumkan pada Jumaat lepas, turut dijangka melonjakkan harga minyak sawit dan minyak pesaing lain di pasaran antarabangsa memandangkan Indonesia merupakan pengeluar dan pengeksport utama minyak sawit di pasaran minyak dan lemak dunia.

Katanya pada tahun lepas sahaja, pengeluaran dan eksport minyak sawit Indonesia, masing-masing mewakili 59 peratus dan 56 peratus daripada pengeluaran dan eksport minyak sawit dunia, yang secara keseluruhannya, eksport minyak sawit Indonesia mewakili 30 peratus daripada keseluruhan eksport minyak dan lemak dunia.

"Berdasarkan sumbangan besar Indonesia dalam pasaran minyak dan lemak dunia, langkah drastik yang diambil oleh Indonesia ini pastinya akan memberi kesan besar terhadap negara-negara lain di dunia terutamanya kepada negara-negara pengimport utama minyak sawit seperti China, India dan Kesatuan Eropah.

"Malaysia selaku negara pengeluar dan pengeksport minyak sawit kedua terbesar dunia, langkah yang diambil oleh Indonesia ini dijangka meningkatkan permintaan eksport ke atas minyak sawit Malaysia," katanya kepada pemberita selepas Majlis Iftar Parlimen Tanjung Piai, di sini malam tadi.

Beliau mengulas mengenai kesan ke atas Malaysia susulan pengumuman Indonesia yang melarang eksport minyak masak dan bahan mentahnya mulai 28 April sehingga diberitahu kelak, bagi memastikan pasaran domestiknya mempunyai bekalan minyak masak mampu milik yang banyak.

Terdahulu, Wee menyampaikan sumbangan Ramadan kepada 45 masjid dan surau selain sumbangan kepada beberapa imam muda.

Bagaimanapun, katanya berdasarkan masalah pengeluaran minyak sawit yang dihadapi Malaysia pada masa ini berikutan isu kekurangan tenaga buruh, Malaysia dilihat tidak mampu menampung permintaan eksport yang tinggi yang ditinggalkan oleh Indonesia.

"Justeru itu, ketidakseimbangan permintaan dan penawaran ini dijangka akan menyebabkan harga minyak sawit dan minyak pesaing lain melonjak kepada paras yang lebih tinggi," katanya.

Menurut Wee, peningkatan permintaan eksport ini juga dilihat mampu memberi cabaran kepada industri hiliran sawit tempatan di Malaysia memandangkan persaingan untuk mendapatkan bekalan bahan mentah minyak sawit kini menjadi semakin sengit.

"Bagaimanapun, dasar cukai eksport minyak sawit mentah (MSM), minyak isirung sawit mentah (CPKO) dan minyak isirung sawit proses (RBDPKO) dilihat mampu berperanan melindungi bekalan bahan mentah minyak sawit untuk keperluan industri hiliran tempatan," katanya.

Bagi pasaran runcit minyak masak tempatan pula, katanya langkah kerajaan menetapkan harga kawalan bagi minyak masak sawit kemasan paket dan harga siling bagi minyak masak sawit kemasan botol satu kilogram hingga lima kilogram dilihat mampu melindungi sepenuhnya pengguna di Malaysia daripada kesan peningkatan harga minyak sawit di pasaran global.

"Namun begitu, kerajaan dilihat terpaksa menanggung bebanan subsidi minyak masak yang lebih tinggi berikutan peningkatan harga minyak sawit di pasaran. Ini untuk memastikan kebajikan dan kepentingan pengguna di Malaysia terjamin," katanya.

Beliau berkata kerajaan akan mengkaji kesan jangka pendek dan jangka panjang untuk memastikan langkah-langkah yang diambil bersesuaian dalam menangani kesan daripada langkah republik itu.

"Ini baru diumumkan. Kementerian akan meneliti dan mengkaji kesan-kesannya untuk jangka pendek dan jangka panjang serta mengenal pasti langkah-langkah yang sesuai (untuk menanganinya).

"Kerajaan sentiasa memantau perkembangan semasa dan bersedia untuk mengambil langkah sewajarnya sekiranya ia diperlukan kelak," kata Wee, yang juga Ahli Parlimen Tanjung Piai itu.

-- BERNAMA