Mantan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata ini juga penting supaya golongan rakyat berhak menerima subsidi yang diperuntukkan secara saksama.
"Pelaksanaan itu kena betul-betul bersasar dengan tepat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku bertajuk "Fathers and Their Wisdom" sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas berkenaan pelaksanaan penyasaran subsidi yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan MADANI Ketiga 2025 pada 18 Oktober lepas.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata setiap penyasaran adalah untuk membetulkan ketempangan amalan subsidi pukal yang memberi manfaat kepada kelompok elit maha kaya dan warga asing.
Dalam pada itu, Rafidah menekankan pelaksanaan sistem pemantauan perbelanjaan belanjawan secara berkala di setiap peringkat tata urus kerajaan daripada peringkat daerah, kerajaan tempatan hingga ke kementerian bagi memastikan tiada penyelewengan atau rasuah berlaku.
Beliau juga mengingatkan agar setiap agensi dan badan membelanjakan peruntukan diterima dengan sebaik mungkin.
"Jangan kita permainkan duit rakyat ini dan elak bermewah. Adalah penting agar setiap ringgit dibelanjakan dengan apa yang ditentukan dan dirancang," katanya.
Rafidah juga berharap golongan atasan atau kaya tidak ditekan dengan pelaksanaan cukai baharu yang membebankan kerana mereka turut menyumbang kepada pendapatan negara.
"Jangan pandang dari segi duit, tetapi nilai tambah pada setiap entiti perniagaan yang ada," katanya.
-- BERNAMA