KUALA LUMPUR: Kumpulan Syarikat Brahim’s Dewina bangga meraikan tiga pencapaian terbaik di Anugerah BrandLaureate 2024, mengukuhkan kepimpinan dalam industri halal global dan katering.

Anugerah itu disampaikan dalam satu majlis penuh gilang-gemilang yang diadakan di The Majestic Hotel Kuala Lumpur, yang dianjurkan oleh The World Brands Foundation (TWBF).

Datuk Seri Ibrahim Ahmad telah dianugerahkan dengan The BrandLaureate Brand ICON Leadership Awards 2024 dalam kategori Kepimpinan Global dalam Perkhidmatan dan Promosi Halal, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan cemerlang dan kepimpinan berwawasan beliau dalam memajukan industri halal di peringkat global.

Mengulas mengenai pengiktirafan berprestij ini, Ibrahim selaku Pengerusi Eksekutif Kumpulan Brahim’s Dewina dan Brahim’s Holdings Berhad berkata, ia satu penghormatan besar untuk menerima Anugerah Brand ICON Leadership Awards BrandLaureate.

"Pengiktirafan ini bukan sahaja mencerminkan perjalanan peribadi saya, tetapi juga hasil kerja keras dan dedikasi semua warga Brahim’s yang telah menyumbang kepada promosi kecemerlangan halal.

"Kami akan terus memacu inovasi dan memastikan kepimpinan Malaysia dalam pasaran halal global kekal tidak dicabar. Misi kami adalah untuk mencipta nilai yang berkekalan, bukan sahaja untuk perniagaan malah untuk masyarakat dan industri halal secara keseluruhan," katanya. 

Anugerah The BrandLaureate Brand ICON Leadership Awards 2024 menyerlahkan pencapaian pemimpin dari pelbagai industri, mengiktiraf dedikasi mereka terhadap kecemerlangan serta peranan mereka dalam memajukan kedudukan Malaysia di peringkat global.

Jenama Brahim’s pula telah dianugerahkan The BrandLaureate World Halal BestBrands Award 2024 dalam kategori Kepimpinan & Promosi Halal Global, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan kepimpinan cemerlang dalam memajukan industri halal di peringkat global.

Sementara itu, Desatera Sdn Bhd, pemain utama dalam katering ketenteraan, telah menerima anugerah The BrandLaureate Bumiputera BestBrands Award 2024 dalam kategori Perkhidmatan Katering, sebagai penghargaan terhadap perkhidmatan cemerlang dan sumbangannya kepada angkatan tentera Malaysia. Ia satu pengiktirafan berprestij yang meraikan kecemerlangan kepimpinan jenama dalam kalangan syarikat Bumiputera.

Mengulas mengenai pengiktirafan ini, Ketua Pegawai Eksekutif Desatera Sdn. Bhd., Datuk Paduka Feizal Nur Nurbi, berkata: "Penghargaan ini adalah bukti dedikasi tidak berbelah bahagi pasukan kami di Desatera. Komitmen kami untuk memberikan perkhidmatan cemerlang, terutamanya dalam bidang katering ketenteraan, sentiasa menjadi teras misi kami.

"Kami sangat berbesar hati diiktiraf oleh The BrandLaureate, dan kami akan terus berusaha mencapai kejayaan yang lebih besar, memastikan kami bukan sahaja memenuhi tetapi melebihi jangkaan mereka yang kami berkhidmat."