Agensi penarafan antarabangsa, RAM Rating Services Bhd menjangkakan kualiti kredit pinjaman perumahan institusi perbankan akan kekal stabil tahun ini biarpun dalam persekitaran kos sara hidup yang ketara.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Bersama Penarafan Institusi Kewangan RAM, Wong Yin Ching berkata nisbah pinjaman terjejas kasar bagi pinjaman industri hartanah kediaman kekal rendah pada paras 1.2 peratus setakat akhir Februari 2017.

"Sebahagian besar kemampuan melunaskan hutang itu disokong oleh pertumbuhan ekonomi Malaysia yang baik serta kadar faedah dan pengangguran yang rendah," katanya.

Wong berkata, bagi hartanah berharga kurang RM250,000 yang memaparkan kualiti kredit lebih rendah, kesan kelemahannya tidak sebegitu ketara.

Menurut agensi penarafan itu, sektor hartanah kediaman juga dijangka kekal mendatar pada 2017 berdasarkan kelemahan sentimen pengguna serta pilihan pinjaman disediakan pihak bank.

Atas alasan itu, jumlah transaksi berkaitan dijangka kekal tidak berubah.

Bagaimanapun, kata RAM, momentum penawaran rumah mampu milik kini semakin ketara.

Menurut agensi penarafan itu, bergantung kepada kadar pelaksanaan perumahan di bawah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), skim pinjaman atau pembiayaan akhir yang lebih mudah bagi unit PR1MA itu boleh menyumbang antara 1.0 hingga 2.0 titik peratusan kepada sistem pertumbuhan pinjaman perbankan secara menyeluruh untuk tempoh dua tahun akan datang.

Skim pembiayaan akhir bagi rumah mampu milik baharu itu juga hanya mengetengahkan pembayaran faedah bagi lima tahun pertama pinjaman berkenaan.

Selain itu, Wong berkata agensi itu akan memantau segmen peminjam baharu berkenaan.

"Ada di antara mereka yang berkemungkinan berdepan isu-isu pembayaran semula apabila tempoh (membayar) faedah itu berakhir dan disusuli keperluan untuk membuat pembayaran penuh pinjaman dan faedah.

"Ini akan lebih ketara jika persekitaran ekonomi makro itu adalah lebih lemah," katanya.

Wong berkata risiko kredit bank-bank pula akan ditampung sebahagiannya oleh kemampuan mereka melaksanakan jaminan kerajaan sehingga RM100,000.

-- BERNAMA