KUALA LUMPUR: Aktiviti pembuatan dijangka berdepan situasi agak sukar dalam masa terdekat terutamanya disebabkan krisis Rusia-Ukraine, lonjakan harga komoditi, peningkatan kes COVID-19 serta kekurangan buruh dan bahan mentah yang sedang berlaku, demikian menurut Kenanga Research.

Walaupun firma penyelidikan itu telah mengekalkan ramalan Keluaran Dalam Negara Kasar 2022 pada 5.5 peratus hingga -6.0 peratus, menurutnya, besar kemungkinan unjurannya itu akan disemak turun dalam masa terdekat.

Dalam nota hari ini, ia berkata Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan naik kepada paras tertinggi dalam tempoh dua tahun sebanyak 50.9 pada Februari berbanding 50.5 pada Januari, sekali gus mencerminkan penyambungan semula aktiviti pembuatan meskipun tertekan dengan kekurangan bahan mentah yang berterusan dan kos pengangkutan lebih tinggi.

"Keyakinan masih tinggi untuk bulan kelapan berturut-turut, dipacu harapan bahawa pandemik COVID-19 ini akan reda seiring dengan pemulihan yang meluas terhadap permintaan, manakala kadar pekerjaan merosot pada Februari berikutan kekurangan pekerja asing yang tersedia," katanya.

Sementara itu, Public Investment Bank mengambil pendekatan berhati-hati dalam unjuran sektor pembuatan akibat isu rantaian bekalan yang tidak diselesaikan.

"Ia mungkin menjejaskan output secara langsung, khususnya melibatkan peralatan kritikal seperti cip yang digunakan dengan meluas dalam hampir semua produk pembuatan, daripada kenderaan, sehingga elektrik dan elektronik.

"Ini juga boleh dipengaruhi oleh COVID-19 ekoran gelombang Omicron yang semakin kuat, selain kekurangan buruh yang akan mengambil masa untuk ditangani," katanya dalam nota.

-- BERNAMA