KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih KPJ Healthcare Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY2021) berkurangan kepada RM51.03 juta daripada RM110.44 juta yang diraih pada FY2020.

Bagaimanapun, hasilnya meningkat 10% kepada RM2.63 bilion daripada RM2.40 bilion sebelum ini, kebanyakannya berikutan peningkatan aktiviti sepanjang tahun, termasuk kerjasama lebih ketara dengan sektor penjagaan kesihatan awam membabitkan rawatan bagi pesakit COVID-19, peningkatan ujian saringan COVID19, perkhidmatan ujian makmal dan vaksinasi.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata keuntungan sebelum cukai kumpulan susut sebanyak 23 peratus daripada RM115.6 juta pada FY2020, terutamanya disebabkan oleh peningkatan kos bahan susulan keperluan pematuhan prosedur operasi standard COVID-19.

“Penggunaan peralatan perlindungan diri oleh kakitangan serta ketetapan wajib bagi ujian RT-PCR untuk semua pesakit, telah menyebabkan peningkatan kos operasi ketika pandemik COVID-19.

''Malah, kumpulan juga melaksanakan pembalikan peruntukan pada 2020 yang tidak diulangi pada 2021,” katanya, lapor Bernama.

Bagi suku keempat berakhir pada 31 Dis, 2021, KPJ Healthcare menyaksikan keuntungan bersihnya susut kepada RM18.46 juta daripada  RM25.29 juta sebelumnya manakala hasil meningkat kepada RM689.12 juta daripada RM622.34 juta sebelum ini.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Presiden merangkap Pengarah Urusannya, Ahmad Shahizam Mohd Shariff berkata, suku keempat terbabit turut menyaksikan pemulihan berterusan dalam ekonomi Malaysia berikutan kelonggaran sekatan pergerakan yang membawa kepada petunjuk pemulihan serta peningkatan keyakinan pengguna.

“Pada 2021, kami telah menyelesaikan fasa pertama program transformasi dengan melaksanakan beberapa perubahan asas organisasi.

“Transformasi fasa kedua kami yang dikenali sebagai STAR 25, akan menumpukan kepada penyampaian pertumbuhan,” katanya.

Ahmad Shahizam berkata, hasil daripada Program Sukuk Wakalah RM3 bilion akan membolehkan syarikat itu mengimbangi semula modal.

“Hasil yang diperoleh itu akan dimanfaatkan untuk aktiviti-aktiviti pengembangan pada masa depan, termasuk perbelanjaan modal bagi meningkatkan infrastruktur sedia ada, berkembang ke pasaran baharu seperti pusat penjagaan ambulatori dan pendigitalan rangkaian hospital,” katanya.

Bagi kemajuan masa depan, kumpulan itu telah mengenal pasti bidang tumpuan strategik utama 2022 yang akan membentuk keupayaan untuk bergerak daripada pemulihan kepada pengembangan dalam fasa pasca-pandemik dan akan terus menumpukan liputan meluas pelaksanaan kesihatan secara maya dan inovasi digital lain. - DagangNews.com