SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mempelawa pasar raya-pasar raya besar seperti Lotus's Stores (M) Sdn Bhd (Lotus's Malaysia) untuk membuka cawangan mereka di Sabah dan Labuan.


Ringkasan AI
  • Pelawaan membuka cawangan: KPDN mempelawa pasar raya besar seperti Lotus's Stores (M) Sdn Bhd (Lotus's Malaysia) untuk membuka cawangan di Sabah dan Labuan. Tujuannya adalah untuk memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna dan mewujudkan persaingan yang sihat.
  • Proses Pengembangan Cawangan: KPDN akan memudahkan proses bagi mana-mana pasar raya yang ingin mengembangkan cawangan mereka di Sabah, Labuan, atau negeri-negeri lain. Bantuan termasuk rundingan dengan Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
  • Prestasi Lotus's Malaysia: Lotus;s Malaysia merupakan salah satu daripada 16 syarikat peruncitan utama dan tiga pengendali platform dalam talian yang terlibat dalam Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM). Pada 2023, Lotus's Malaysia mencatatkan peningkatan nilai jualan barangan tempatan sebanyak RM40.60 juta.


Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata pelawaan tersebut bagi membolehkan lebih banyak pilihan diberikan kepada pengguna, selain mewujudkan persaingan yang sihat.

Mengambil contoh harga ayam di  Lotus’s Malaysia, Armizan berkata rangkaian pasar raya itu konsisten menawarkan harga berpatutan serendah RM6.99 sekilogram berbanding harga ayam yang tinggi di wilayah tersebut.

“Sebab itu kita menjemput sekiranya mereka boleh (membuka cawangan) khususnya penawaran harga berpatutan di Sabah dan Labuan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2024 Peringkat Lotus’s Setia Alam di sini pada Khamis.

Purata harga ayam di Sabah ketika ini dijual pada harga RM12.38 sekilogram.

Mengulas lanjut, Armizan berkata sebagai kementerian yang bertanggungjawab untuk mengawal selia sektor peruncitan, KPDN akan memudahkan proses untuk mana-mana pasar raya mengembangkan cawangan mereka di Sabah dan Labuan, mahupun negeri-negeri lain.

Jelas beliau, bantuan tersebut termasuk melalui rundingan dengan Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta KPDN di negeri terlibat.

“Sekiranya Lotus’s atau mana mana pasar raya lain boleh mempunyai cawangan di negeri terbabit, dan sekiranya boleh memberikan tawaran yang baik kepada pengguna, kita akan membantu sehabis baik untuk memudahkan proses mereka membuka cawangan kerana lesen sudah ada,” ujar Armizan lagi.

Lotus’s Malaysia antara 16 syarikat peruncitan utama dan tiga pengendali platform dalam talian yang terlibat dalam KBBM.

Pada 2023, Lotus's Malaysia mencatatkan peningkatan nilai jualan barangan tempatan berjumlah RM 40.60 juta, berbanding RM40.16 juta bagi 2022 dan RM34.63 juta pada 2021.