TARIKH 7 Oktober 2023 adalah tarikh penting yang dinantikan pada tahun ini oleh ramai pihak.

Ia adalah tarikh pembentangan Bajet 2023.

Banyak pihak telah memberikan pelbagai idea dan cadangan untuk diketengahkan sebelum bajet ini dibentangkan.

Mewakili Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, saya turut berasa terpanggil untuk berkongsi sedikit idea demi penambahbaikan Bajet 2023 untuk dikongsikan.

Berikut merupakan beberapa perkara yang ingin saya kongsikan:

1) Menambah pendapatan rakyat.

Bagi menghadapi keadaan ekonomi semasa, rakyat dilihat bergelut dalam mencari sumber pendapatan.

Ramai daripada rakyat terpaksa melakukan lebih daripada satu kerja untuk memastikan mereka memperoleh pendapatan yang cukup untuk menyara diri dan keluarga masing-masing.

Maka kerajaan diharap boleh memfokuskan terhadap insentif menambah pendapatan rakyat.

2) Mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Ketika pandemik melanda banyak perusahaan yang telah ditutup yang menyaksikan ramai yang hilang pekerjaan.

Ditambah juga dengan bilangan graduan yang saban tahun kian meningkat menjadikan peluang pekerjaan semakin sukar diperoleh.

Justeru, kerajaan diminta untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan buat rakyat di negara ini.

3) Kebolehtahanan Perniagaan

Pelbagai jenis perniagaan dilihat sekarang sedang bergelut untuk kekal bertahan dalam dunia perniagaan. Banyak syarikat besar yang telah menamatkan perniagaan mereka.

Kerajaan perlu memikirkan insentif yang bertepatan dengan segala jenis perniagaan bagi memastikan setiap perniagaan ini mampu berdaya saing dan kekal berada dalam pasaran bagi membolehkan ekonomi sentiasa mampu dijana

4) Memperbaiki sistem perlindungan sosial.

Perlindungan yang lebih terhadap golongan masyarakat dari pelbagai aspek sosial dan kehidupan perlu dititikberatkan.

Perlindungan kehidupan seperti keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan kehidupan perlu sentiasa dibaiki khasnya buat golongan yang berusia dan mudah terancam.

5) Membaiki kesejahteraan rakyat

Penyediaan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti perlu dititikberatkan bagi memasikan kesejahteraan rakyat senantiasa diutamakan. Daripada kesihatan kita akan memperoleh kesejahteraan yang lebih baik buat rakyat.

6) Bantuan kewangan kepada golongan sasar

Kerajaan juga diharapkan untuk menyediakan bantuan kewangan untuk membantu dari segi pendapatan khusus kepada golongan sasar B40 dan M40.

Dua golongan ini perlu diberi perhatian kerana wujudnya ketidakadilan dalam pembahagian bantuan kewangan dan juga masalah identifikasi kelas golongan sasar ini kerana keadaan kewangan dan komitmen yang dihadapi setiap golongan ini adalah berbeza.

7) Menangani masalah inflasi

Banyak perkara harus ditekankan oleh kerajaan bagi menangani masalah kenaikan kos sara hidup dan kenaikan harga barang yang disebabkan oleh inflasi. Kesan inflasi membebankan kehidupan rakyat.

Kenaikan gaji, pertambahan pendapatan seakan tidak berguna apabila inflasi dibiarkan berlaku tanpa dibendung. Maka inflasi harus ditangani terlebih dahulu.

8) Menyediakan peruntukan khas kepada NGO.

NGO yang terlibat dalam penyediaan khidmat kesihatan kepada komuniti harus diberi insentif khas bagi membolehkan NGO terus menerus membantu masyarakat khasnya dalam bidang yang merupakan keperluan seperti kesihatan.

Antaranya seperti NGO yang memperjuangkan perkara seperti kesihatan mental, pusat dialisis yang diselia NGO, dan pelbagai lagi yang boleh memberi impak yang baik kepada masyarakat.


9) Membantu pemulihan ekonomi.

Kerajaan seharusnya lebih mesra terhadap komuniti perniagaan dengan cara menghapuskan pelbagai jenis karenah birokrasi yang menyulitkan urusan perniagaan setempat dalam memperoleh kelulusan pelbagai jenis perniagaan.

Dalam penyediaan bantuan buat perniagaan mahupun bantuan kewangan, segala kerenah birokrasi ini sebolehnya haruslah dipermudahkan.

10) Perkenalkan inisiatif ESG kepada PKS
 
Kerajaan perlu menekankan inisiatif Environmental, Social, & Governance(ESG) terhadap perusahaan kecil dan sederhana bagi memastikan kelestarian sekitar dapat dijaga dan dipeliharan.

Ini juga akan mewujudkan kesan baik dan kemampanan bukan sahaja buat persekitaran tetapi juga untuk perniagaan yang lebih sejahtera dan lestari serta berdaya saing.



* Tan Sri Lee Lam Thye merupakan Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat

** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.