Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan pejabat wilayah Khazanah Nasional Berhad bagi negara-negara Amerika Utara dan Selatan, Khazanah Americas Incorporated (KAI), di San Francisco pada Ahad.

Beliau berharap pembukaan pejabat ini akan membantu menggerakkan lagi usaha Malaysia untuk merealisasikan statusnya sebagai negara maju menjelang 2020.

Perdana Menteri berkata visi Malaysia untuk mencapai status negara maju menjelang 2020 boleh direalisasikan dengan menggerakkan rangkaian nilai dan mewujudkan ekonomi dipacu pengetahuan, inovasi dan teknologi.

Najib berkata demikian semasa merasmikan pejabat Khazanah itu di Aras 45, 101 California Street, San Francisco, pejabat wilayah ketiga cabang pelaburan kerajaan itu, selepas Beijing dan Mumbai.

Turut hadir isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Pelajaran Kedua Datuk Seri Idris Jusoh, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Ewon Ebin, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pengarah Pejabat Datuk Bandar bagi Perniagaan dan Perdagangan Antarabangsa San Francisco Mark Chandler.

Pemandangan indah Golden Gate Bridge, jambatan gantung tertinggi dan terpanjang di dunia yang siap pada 1937 bagi menghubungkan San Francisco dan Marin County merentas selat seluas 1,600 meter yang dikenali Golden Gate, yang menghubungkan Teluk San Francisco dengan Lautan Pasifik, dapat disaksikan dari Pejabat Khazanah Americas Incorporated itu.

Sambil memuji Khazanah yang 'membuat pilihan hebat dengan pemandangan indah itu', Najib berkata Khazanah telah membuat pilihan tepat untuk membuka pejabat di San Francisco memandangkan kota raya itu merupakan pusat inovasi di Amerika Syarikat -- wilayah yang paling dinamik di dunia, pusat perniagaan dan institusi inovatif yang dikagumi.

Najib yang juga Pengerusi Khazanah Nasional Berhad berkata pembukaan pejabat itu membuktikan kerajaan Malaysia menyokong penuh, selain serius dalam mewujudkan persekitaran yang kompetitif, berkekalan dan mesra inovasi serta menggalakkan entiti kerajaan dan swasta melabur dalam sektor utama di luar negara.

Perdana Menteri juga berkata Malaysia berminat melabur dalam biang bernilai tinggi yang menarik seperti sains hayat, teknologi hijau dan inovasi canggih yang dapat membantu usaha mentransformasikan Malaysia.

Najib berkata Malaysia berharap dapat mempelajari dari Amerika Syarikat mengenai budaya inovasi, pengambilan risiko dan keusahawanan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi Malaysia sendiri.

Perdana Menteri berkata beliau mahu melihat inovasi yang bakal diwujudkan menerusi inisiatif pejabat wilayah ini.

Beliau berkata sejak beberapa tahun lepas, minat perniagaan dan ekonomi Malaysia berkembang di seluruh dunia dan berharap pejabat Khazanah ini dapat mengenal pasti rakan usaha sama berpotensi dan mendapatkan pakar inovasi di Amerika Utara dan Selatan supaya menjalin usaha sama dengan rakan mereka di Malaysia.

Najib juga berkata Iskandar Malaysia di Johor sudah membuka pusat inovasi bernilai tinggi dan Pinewood Studiosnya, studio penerbitan media bersepadu, yang disasarkan siap dan dibuka tahun depan.

Beliau berkata banyak yang boleh ditawarkan oleh Malaysia kepada pelabur seperti angka pertumbuhan ekonomi yang tinggi iaitu 4 hingga 5 peratus setahun, Wawasan 2020 yang berada pada kedudukan yang baik untukd ijayakan selain kadar inflasi yang rendah sebanyak 2 peratus, yang baik jika mengambil kira faktor-faktor luar semasa yang menjejaskan ekonomi dunia.

"Menerusi Khazanah Americas, kami dapat mengukuhkan lagi kehadiran serta mengukuhkan rantaian dengan perniagaan di sini dan berharap dapat mengenal pasti rakan usaha sama berpotensi di Amerika bagi membantu merancakkan Malaysia merealisasikan status negara maju menjelang 2020," katanya.

Dalam ucapan aluannya, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad Tan Sri Azman Mokhtar berkata pembukaan pejabat Khazanah Americas Incorporated akan menjadi hab untuk Khazanah melibatkan diri dalam inovasi dan teknologi selain merapatkan hubungan antara kedua-dua negara dan wilayah.

Najib yang tiba di San Francisco bersama isteri pada awal Ahad, kini dalam rangka kerja di sini sehingga 24 Sept, sebelum lawatannya ke New York untuk mengetuai delegasi Malaysia pada sesi ke-68 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) dari 25 hingga 29 Sept.

Beliau dijadual menyampaikan ucapan pada Mesyuarat Peringkat Tinggi UNGA mengenai Pelucutan Senjata Nuklear pada 26 Sept, serta Perbahasan Umum pada 28 Sept.