QSR Brands (M) Holdings Sdn Bhd menjadi perintis kepada restoran mesra alam di Malaysia apabila restoran KFC syarikat itu di sini mendapat tiga pensijilan hijau utama.

Pengerusi QSR Brands Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata tiga sijil itu ialah Emas bagi GreenBuildingIndex Sdn Bhd (Malaysia), Emas bagi LEED (US) dan Platinum untuk BCA Green Mark (Singapura).

"Kami membelanjakan RM6.6 juta bagi menjadikan restoran KFC di Nilai Square ini mesra alam, dan kami menyasarkan untuk mewujudkan sebuah restoran mesra alam di setiap negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Restoran Mesra Alam Pertama KFC di Malaysia yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Halimah Mohd Sadique, di sini hari ini.

Kamaruzzaman berkata selepas Negeri Sembilan, pihaknya merancang untuk membina restoran KFC mesra alam di Kuala Lumpur dan Johor.

"Negeri lain akan bergantung kepada kesesuaian tapak pembinaan," katanya.

Antara ciri-ciri hijau yang terdapat di restoran ini ialah meminimumkan penggunaan tenaga melalui penggunaan lampu LED, sensor cahaya, pengudaraan semula jadi dan penyimpanan air hujan.

Selain itu, restoran ini juga menggunakan sistem solar termal yang akan memasak 100 peratus air panas yang diperlukan bagi kegunaan dapur dan sistem penyaman udara yang berbeza mengikut zon atau kawasan.

"Kami amat berbangga menjadi perintis bagi sektor restoran dalam mengguna pakai teknologi hijau sebagai sebahagian daripada perniagaan restoran kami, sekali gus menunjukkan sokongan dan komitmen kami terhadap usaha kerajaan bagi bersama-sama memulihara alam semula jadi," kata Kamaruzzaman.

Sejajar dengan usaha KFC untuk terus memulihara penjagaan alam sekitar, KFC Delivery Malaysia telah mula menggunakan skuter elektrik sejak 2012.

Sehingga kini terdapat 83 cawangan yang menawarkan perkhidmatan penghantaran melalui penggunaan 247 skuter elektrik di seluruh negara.

Sementara itu, Kamaruzzaman berkata QSR Brands memperuntukkan sebanyak RM30 juta untuk membuka 27 restoran baharu di seluruh negara tahun ini.

"Daripada jumlah itu, 10 restoran telah dibuka dan 17 buah lagi dijangka siap sepenuhnya penghujung tahun ini," katanya.

Setakat Mei tahun ini, terdapat 610 restoran KFC di seluruh negara.