KUALA LUMPUR :
Dengan tema “Mewujudkan Peluang Pembiayaan Lebih Besar,” SME Corp. Malaysia dengan sokongan RAM Rating Services Berhad menganjurkan jaringan kerjasama untuk Alumni Enterprise 50 (E50).

Lebih 100 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dihimpunkan bersama pembiaya daripada bank-bank tempatan termasuk P2P, bagi mempermudah akses kepada pembiayaan dan perkongsian pengetahuan.

Sehingga kini, syarikat yang telah diiktiraf di bawah Program Anugerah E50 atau Alumni E50 itu telah mengumpulkan hampir 800 PMKS merentasi semua sektor ekonomi di negara ini.

Sejak diperkenalkan pada 1997, Anugerah E50 telah mendapat pengiktirafan industri sejak dua dekad yang lalu sebagai salah satu platform anugerah yang menjadi rebutan dan berkredibiliti serta melambangkan pencapaian dalam perniagaan dan bidang keusahawanan.


Memasuki tahun ke-24 penganjurannya, anugerah itu telah berjaya mempromosi dan mengetengahkan PMKS yang paling berdaya saing dan berdaya tahan, mampu menghadapi cabaran global dalam semangat keusahawanan sebenar sekaligus meningkatkan kebolehlihatan syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy berkata, kerajaan sememangnya mengiktiraf kepentingan PMKS dan aspek pembangunan keusahawanan dalam melahirkan PMKS yang berdaya saing di peringkat global dan usahawan tempatan yang dinamik.

“Justeru, kami akan terus melaksanakan strategi yang berkesan dan menjalin kerjasama strategik dengan rakan kerjasama seperti RAM Rating Services Berhad, untuk meningkatkan pertumbuhan usahawan tempatan dan membangunkan ekosistem yang kondusif untuk PMKS.

“Melalui kerjasama strategik ini, SME Corp. Malaysia dapat mempergiat jangkauan kepada PMKS di Malaysia, seterusnya memastikan kejayaan berterusan Anugerah E50 dan meningkatkan impaknya kepada PMKS saban tahun," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif RAM Rating Services Berhad, Julie Ng pula menyatakan bahawa mereka teruja untuk terus menyokong perkongsian strategik bersama SME Corp. Malaysia untuk Anugerah E50, di mana mereka menyediakan penilaian kredit secara bebas kepada Alumni E50 melalui perkhidmatan RAM CreditSCAN.

“Laporan daripada RAM Rating ini memberikan gambaran yang jelas tentang perniagaan dan kedudukan kewangan, merapatkan jurang maklumat dan seterusnya membantu mempromosikan akses kepada pembiayaan," jelasnya.

RAM Rating juga telah berkongsi pandangan terhadap prospek ekonomi Malaysia semasa acara tersebut, di mana komuniti perniagaan boleh menjangkakan pertumbuhan pada 2024, yang diunjurkan mencecah 4.5 peratus hingga 5.5 peratus berbanding 3.6 peratus tahun lalu.

Risiko utama termasuk kenaikan harga kesan daripada pelarasan semula dasar, konflik geopolitik yang semakin buruk dan limpahan daripada ketidaktentuan pasaran kewangan semasa.

Dua (2) platform penubuhan dana - BR Capital dan pitchIN, berkongsi pandangan mereka mengenai trend dan peluang mengumpul dana, juga beberapa rakan strategik Anugerah E50 turut mengambil bahagian dalam acara ini dan memberikan taklimat mengenai perkhidmatan mereka, iaitu RHB Bank Berhad, Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) dan Deloitte Malaysia.

Di samping itu, reruai maklumat juga disediakan oleh pemain P2P yang mengambil bahagian seperti Nusa Kapital, Fundaztic, CoFundr, microLEAP, pitchIN dan BR Capital.

Acara itu adalah sebahagian daripada usaha SME Corp. Malaysia dan RAM Rating untuk menyokong pembangunan PMKS dalam mengharungi landskap perniagaan yang semakin mencabar.

Untuk maklumat lanjut mengenai Program Anugerah E50, sila layari laman sesawang, www.e50.com.my manakala bagi maklumat lanjut mengenai perkhidmatan RAM CreditSCAN, lawati pautan https://analytics.ram.com.my/CreditScan.