KUALA LUMPUR: Ketika rakyat Malaysia bakal meraikan Tahun Baharu hari ini, Kerajaan di bawah teraju kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mengekalkan momentum dalam usaha mencergaskan semula ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik COVID-19 serta menangani ketirisan kewangan berjumlah RM300 bilion disebabkan ekonomi gelap.

Retail and Trade Brands Advocacy Malaysia (RTBA Malaysia), merupakan sebahagian daripada kumpulan advokasi antarabangsa yang melindungi perniagaan di rantau Asia Pasifik daripada perlakuan jenayah, juga menggesa penggubal dasar di Malaysia supaya lebih bersatu di dalam merangka formula dan menyokong dasar-dasar yang akan membantu perniagaan sah di Malaysia untuk memulih dan berkembang di dalam norma baharu.

Pengarah Urusan RTBA Malaysia, Datuk Fazli Nordin berkata, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMke-12) bernilai RM400 bilion yang diumumkan sebulan lalu mengandungi intipati dan kejituan untuk menjana kesan pengganda yang diperlukan bagi memperkasa semula ekonomi Malaysia. Ia akan memberi manfaat kepada perniagaan dan rakyat di seluruh negara.

‘’Walaubagaimanapun, adalah kritikal bagi RMKe-12 dilaksanakan secara strategik dan penuh teliti bagi memastikan hasil-hasil yang positif dan kemakmuran kepada semua rakyat Malaysia,’’ katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Menurut Fazli, inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia pada 2021 bagi mengekang ketirisan juga berhasil dan harus dikekalkan, kalau boleh dipertingkatkan lagi.

‘’Satu siri inisiatif bagi menangani dagangan rokok seludup, yang telah mengakibatkan Kerajaan kerugian RM5 bilion dari segi hasil cukai yang tidak dapat dikutip, telah dilaksanakan pada 2021.

‘’Ini termasuk antaranya, membeku pengeluaran lesen import baharu untuk rokok, mengetatkan pembaharian lesen import rokok, mengehadan transshipment rokok di pelabuhan yang dikhususkan, mengenakan cukai ke atas rokok import untuk eksport semula, melarang transshipment rokok dan mengeksport semula rokok menggunakan bot kecil,’’ ujar beliau lagi.

Fazli berkata, dasar-dasar penguatkuasaan ini telah menyebabkan insiden rokok seludup menurun sebanyak 5.9 mata peratusan, daripada 63.8 peratus pada 2020 kepada 57.9 peratus pada Mei 2021.

‘’Sementara masih banyak yang perlu dilakukan bagi membanteras kegiatan jenayah ini ke atas ekonomi, trend penurunan rokok seludup yang tidak pernah berlaku ini adalah petunjuk Kerajaan terus bertegas mengekalkan inisiatif ini bagi mendapatkan balik hasil negara tersebut,’’ kata Dato Fazli.

RTBA Malaysia juga menegaskan bahawa Kerajaan yang stabil adalah sangat penting untuk memastikan rancangan dan pakej rangsangan ekonomi serta dasar-dasar bagi menangani ketirisan dilaksanakan secara berkesan.

‘’Kestabilan politik juga menarik pelaburan terus asing (FDI) sambil mewujudkan asas yang lebih tehuh bagi Pentadbiran untuk memerangi jenayah dan rasuah,’’ ujar Fazli.

TBA Malaysia adalah divisyen kecil RTBA, berpusat di Victoria, Australia. Ia merupakan gabungan perniagaan, peruncut dan pemegang tanda dagang yang bekerja bersama untuk melindungi industri runcit dan pembekal di rantau Asia Pasifik daripada impak perlakuan jenayah.

Fokus RTBA adalah untuk menyatukan, menggerakkan dan advokasi bagi perubahan berkesan di dalam isu perundangan, kewangan dan percukaian yang memberi kesan kepada rantaian pembekalan.

Hari ini, RTBA terus memainkan peranan penting di dalam usahanya untuk meningkatkan keselamatan produk dan menambah denda-denda terhadap penjenayah yang terbabit di dalam operasi pasaran gelap; membanteras aktiviti haram termasuk pemalsuan, cetak rompak dan penyeludupan barangan konsumer; melindungi jenama & hak IP pembekal, pengilang, pemilik tanda harga dan juga konsumer bagi menyediakan penyelesaian peraturan dan percukaian yang positif untuk semua pihak di dalam rantaian pembekalan dan perdagangan.


Artikel asal di DagangNews.com