Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata melalui konsolidasi fiskal secara tegas dan berperingkat, kerajaan berjaya mengekang peningkatan jumlah pinjaman bersih sekali gus mengurangkan pertumbuhan hutang.
Beliau berkata jumlah pinjaman Kerajaan Persekutuan pada 2023 sebenarnya berkurang kepada RM226.595 bilion berbanding RM230.949 bilion pada 2022.
"Defisit fiskal berjaya dikurangkan secara konsisten. Jumlah pinjaman bersih dijangka terus berkurang iaitu dari RM99.4 billion pada 2022 kepada RM92.5 billion pada 2023.
"Trend ini dijangka akan terus berkurangan sekitar RM86 bilion pada 2024," katanya dalam teks ucapan penggulungan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2024 mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2023 di Dewan Rakyat pada Isnin.
Teks ucapan itu dibacakan oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Amir Hamzah yang berada dalam persidangan itu tidak dapat membuat ucapan penggulungan kerana mengalami keradangan saluran kerongkong atau laringitis.
Menteri Kewangan II itu juga berkata daripada RM241.509 bilion yang dinyatakan di dalam LKAN 3/2024, sejumlah RM8.776 bilion merupakan premium bersih yang dilaraskan kepada Akaun Penyelesaian Premium/ Diskaun Sekuriti Kerajaan.
Sementara itu, RM6.138 bilion merupakan transaksi 'switch auction', iaitu kaedah yang digunakan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai strategi pengurusan hutang untuk mengurangkan risiko pembiayaan semula.
"Kaedah ini tidak akan meningkatkan jumlah pinjaman secara keseluruhan memandangkan ia hanya melibatkan pertukaran kertas hutang dengan amaun prinsipal yang sama di antara kerajaan dan pemain pasaran," katanya.
Amir Hamzah turut menjelaskan isu komitmen kewangan kerajaan yang meningkat RM0.139 bilion kepada RM285.634 bilion, dan komitmen jaminan yang mengembang RM3.288 bilion kepada RM227.404 bilion berbanding 2022.
Kesemua komitmen jaminan ini adalah komitmen hutang syarikat berkaitan kerajaan dan badan berkanun yang secara khususnya melaksanakan obligasi sosial terutamanya projek infrastruktur pengangkutan awam, katanya.
Ini termasuk terbitan pinjaman baharu terutamanya oleh Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), DanaInfra Nasional Bhd dan Prasarana Malaysia Bhd; intervensi dasar kerajaan untuk menyokong dan membantu kewangan syarikat; dan menyokong struktur sukuk Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) yang mempunyai kupon sifar di mana keuntungan akan dibayar pada akhir tempoh matang dan dipermodalkan setiap tahun.
"Perlu dijelaskan bahawa peningkatan komitmen jaminan adalah untuk menampung empat projek infrastruktur pengangkutan yang masih sedang berjalan iaitu projek Mass Rapid Transit (MRT), Light Rail Transit 3 (LRT3), Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dan Rel Hubungan Pantai Timur (ECRL) di samping menampung kos operasi Prasarana bagi menambahbaik sistem jaringan pengangkutan negara.
"Peningkatan komitmen ini adalah untuk melaksanakan projek infrastruktur yang tidak dapat ditampung melalui Belanja Pembangunan serta tidak mengabaikan projek-projek sosial yang lain seperti pembinaan sekolah, hospital, jalan persekutuan, projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang disediakan di bawah Belanja Pembangunan," katanya.
Amir Hamzah berkata kerajaan turut memastikan Liabiliti Persekutuan terkawal melalui langkah-langkah seperti penetapan had nilai kuantiti yang perlu dipatuhi mengikut ketetapan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 [Akta 850].
Selain itu, kerajaan juga memastikan kadar pembiayaan dana oleh Pertubuhan Perbadanan yang dijamin adalah dalam lingkungan harga yang rendah; membatalkan beberapa fasiliti jaminan yang masih belum dimanfaatkan dari semasa ke semasa; dan memastikan Pertubuhan Perbadanan yang dijamin mempunyai keupayaan kewangan bagi tujuan bayaran balik pembiayaan dan seterusnya tidak memberi beban kepada kerajaan.
"Langkah-langkah tersebut akan turut diimbangi dengan usaha-usaha kerajaan untuk meningkatkan hasil pendapatan negara serta pelaksanaan rasionalisasi subsidi," katanya.
Amir Hamzah mengulangi komitmen kerajaan untuk mengurangkan nisbah hutang kepada keluaran dalam kasar negara (KDNK) di bawah 60 peratus secara beransur-ansur dalam tempoh jangka masa sederhana seperti yang ditetapkan dalam Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA).
-- BERNAMA