KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi penegasannya bahawa kerajaan pimpinan beliau akan terus mengamalkan standard etika tertinggi serta tiada sebarang ruang bagi penyalahgunaan kuasa di bawah pentadbiran itu.

Dalam ucap tama beliau pada program Invest Malaysia 2023 di sini hari ini, Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan menangani secara serius sebarang pelanggaran, tanpa sebarang rasa takut atau pilih kasih.

"Saya sudah tegaskan perkara ini berulang kali dan akan mengulanginya di majlis ini. Kerajaan ini mengamalkan pendekatan sifar toleransi terhadap sebarang salah laku serta rasuah.

"Tadbir urus korporat yang baik perlu kekal sebagai asas operasi perniagaan, syarikat-syarikat serta pemegang saham.

"Ini juga penting bagi memastikan aspek tadbir urus ini menjadi jaminan mantap untuk melindungi pelabur serta kestabilan pasaran kewangan dan modal," kata beliau.

Malah, atas alasan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan bahawa kerajaan telah menjadikan aspek itu sebagai keutamaan bagi menegakkan keadilan sosial dalam menangani ketidaksamaan dengan pengembangan serta pertumbuhan ekonomi negara perlu dicapai dalam konteks lebih meluas berkaitan ekonomi insan yang mengutamakan keperluan rakyat, terutama golongan miskin dan terpinggir.

"Kita perlu melepaskan mereka daripada cengkaman kemiskinan. Ada yang menyatakan ini disebabkan oleh sistem kapitalis tidak terkawal yang telah menyemai ketidaksamaan dalam kekayaan serta taraf hidup," kata beliau.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menekankan bahawa pendekatan dalam Belanjawan Madani yang beliau bentangkan pada 24 Februari lepas, menumpukan usaha menangani pembasmian kemiskinan tegar serta meminimumkan beban kos sara hidup.

Anwar berkata, golongan miskin perlu dikeluarkan daripada kemelut mereka dan sebaliknya diberi akses kepada semua aspek penting ekonomi agar mereka mampu bangkit.

"Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) adalah platform hebat bagi membetulkan ketidakseimbangan sosial tersebut. Ia berfungsi dengan menyediakan peluang bagi golongan miskin meningkatkan potensi pendapatan mereka dalam bidang perladangan selain sebagai penyedia perkhidmatan makanan dan penyelenggaraan am," kata beliau.

-- BERNAMA