KUALA LUMPUR: Susulan sambutan yang menggalakkan, Kementerian Kewangan (MOF) telah memutuskan untuk memanjangkan tempoh mengumpul maklum balas berkaitan Belanjawan 2024 melalui portal Cadangan Belanjawan 2024 selama seminggu sehingga 22 Sept 2023.

Setakat 13 Sept 2023, Jelajah Belanjawan 2024 telah melangkaui seluruh pelosok negara melalui 9 Jelajah Negeri yang diterajui oleh Timbalan Menteri I Datuk Seri Ahmad Maslan dan Timbalan Menteri II Steven Sim Chee Keong serta 24 sesi libat urus yang dikendalikan kementerian-kementerian di bawah Kerajaan Perpaduan.

"Sesi tersebut melibatkan penyertaan daripada lebih 7,000 peserta dari pelbagai latar belakang seperti dewan perniagaan, pakar ekonomi, teknokrat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa yang sama, MOF telah menerima lebih 9,500 maklum balas daripada orang ramai melalui portal Cadangan Belanjawan 2024.

Maklum balas yang diterima melalui semua platform tersebut meliputi bidang kelestarian ekonomi seperti pemeliharaan persekitaran, ekonomi hijau, tata kelola baik, pendigitalan, penambahbaikan tadbir urus fiskal dan langkah-langkah untuk memajukan industri sedia ada seperti industri kreatif dan pelancongan.

Kesiapsiagaan Belanjawan 2024 bermula dengan pembentangan Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat pada 27 Julai 2023, yang turut memainkan peranan sebagai kenyataan pra-Belanjawan.

Kerangka tersebut telah menjadi panduan kepada kertas-kertas dasar Kerajaan Perpaduan untukmenstruktur semula ekonomi Malaysia agar ia berlandas pada trajektori pertumbuhan baharu yang rancak dan saksama.

Kerangka dasar yang telah diluncurkan untuk melengkapi Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat merangkumi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Industri Baharu 2023 (NIMP) dan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Ini akan disusul dengan Belanjawan 2024 yang akan dibentang oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Okt 2023, yang akan menggariskan usaha dan inisiatif untuk dilaksanakan pada 2024 bagi mencapai sasaran-sasaran seperti diumumkan oleh Perdana Menteri pada peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat.

Selepas Kuching, Program Jelajah Belanjawan 2024 akan bersambung di Perak, Selangor dan Labuan. Program ini dijangka berakhir pada 22 Sept 2023.

Orang ramai dijemput untuk memberikan pendapat dan cadangan di portal Cadangan Belanjawan 2024 melalui pautan https://budget.mof.gov.my/ms/.

-- BERNAMA