Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) menyasar kira-kira 123,000 syarikat mendaftar bagi cukai barang dan perkhidmatan (GST) menjelang 30 September ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata untuk mencapai sasaran tersebut, KDRM akan melaksanakan lima langkah termasuk menambah iklan di media cetak dan elektronik selain memberikan peringatan awal kepada 63,000 syarikat yang telah mendaftar bagi cukai jualan dan perkhidmatan (SST) untuk mendaftar bagi GST.

Kata beliau sehingga semalam, sebanyak 8,883 syarikat telah mendaftar bagi GST yang mana 36 pendaftaran melalui pos manakala selainnya menerusi dalam talian.

"Pendaftaran menerusi dalam talian hanya mengambil masa lima minit," kata beliau kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Pemprosesan GST di Kompleks Kastam di sini, hari ini.

Kata beliau pemohon dinasihatkan untuk menyediakan maklumat berkaitan syarikat terlebih terdahulu termasuk pengiraan nilai jualan sebelum mendaftar bagi mempermudahkan proses pendaftaran.

Beliau berkata KDRM turut akan memperbanyakkan pendaftaran "in situ" ketika mengadakan Hari GST dan Hari Bertemu Pelanggan selain menempatkan kiosk pendaftaran di kawasan awam.

Menurut Ahmad, beliau telah mengadakan perbincangan dengan pengarah kastam dan pegawai kastam negeri untuk menyelesaikan sesi penerangan di kesemua 222 kawasan parlimen sebelum 30 September.

Katanya sebanyak 888 penerangan dirancang meliputi empat peringkat penerangan bagi setiap kawasan parlimen.

Secara keseluruhannya, lebih 5,000 program telah dilaksanakan oleh kerajaan dan membuahkan kesan yang positif dari segi pemahaman dan penerimaan rakyat terhadap GST.

Katanya, program-program yang dijalankan meliputi program kesedaran dan latihan termasuk latihan percuma kepada perusahaan kecil dan sederhana.

Bagi melancarkan pelaksanaan GST, KDRM sedang dalam proses menambah 677 kakitangan baharu di samping 1,227 kakitangan sedia ada khusus bagi GST.

"82 permohonan baharu pembekal perisian GST juga telah diluluskan sebagai tambahan kepada 55 pembekal yang sedia ada," katanya.

Dianggarkan sebanyak 300,000 syarikat di seluruh negara berpotensi untuk mendaftar bagi GST termasuk pendaftaran secara sukarela.