KUALA LUMPUR: Syarikat fintech global dengan perkhidmatan pelaburan yang lebih cekap, dipercayai dan mudah diakses, Wahed mengumumkan pelantikan Juliana Abu Bakar sebagai Ketua Pengurus Negara Wahed Malaysia, berkuat kuasa hari ini.

Sejajar dengan pelantikan itu, tanggungjawab Juliana termasuk mengurus perniagaan Wahed di Malaysia secara amnya, melaksanakan strategi pertumbuhan dan menerajui fungsi pemasaran dan kerjasama di Malaysia.  

Juliana akan menggantikan Syakir Hashim yang telah menubuhkan dan menguruskan Wahed Malaysia sejak pelancarannya di negara ini pada Oktober 2019.

Syakir akan menyertai pengurusan kumpulan syarikat sebagai Naib Presiden Kanan Operasi Perniagaan Wahed.

Di bawah kepemimpinan Syakir, Wahed Malaysia telah menyediakan perkhidmatannya kepada lebih daripada 250,000 pelanggan serta mencapai keuntungan operasi.

“Alhamdulillah, hari ini, Wahed Malaysia adalah salah satu Pengurus Pelaburan Digital terkemuka di Malaysia. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan Wahed Malaysia, pihak Suruhanjaya Sekuriti dan pemain-pemain di dalam ekosistem pengurusan dana serta kewangan di Malaysia kerana menyokong kami," ulas Syakir mengenai jawatan baharunya dan perlantikan Juliana sebagai Ketua Pengurus Negara.

"Saya memulakan tanggungjawab baharu saya dengan selesa kerana saya tahu bahawa saya menyerahkan operasi Malaysia kami di tangan yang baik iaitu kepada Juliana,” tambah beliau.

Sementara itu, Juliana pengalaman yang luas dalam menjalankan tanggungjawab baharunya di Wahed Malaysia.

Sebagai Ketua Pengurus E-Wallet Digital Touch ‘n Go, beliau membangunkan dan mengendalikan E-Wallet Touch ‘n Go sebagai produk baharu, termasuk mendapatkan kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM).

Beliau juga berjaya mempertingkatkan ‘use case’ untuk E-Wallet tersebut dengan kerjasama pihak-pihak strategik serta mendapatkan peniaga dalam talian serta fizikal untuk menerima E-Wallet sebagai bentuk pembayaran tanpa tunai baharu.

Pencapaian lain sepanjang beliau bersama Touch 'n Go termasuk, melatih pasukan operasinya untuk membangunkan proses perniagaan merentas fungsi yang baharu dan memastikan syarikat sentiasa mematuhi sepenuhnya lesen e-wang oleh BNM serta pada masa yang sama, tetap menyokong objektif perniagaan yang diingini syarikat.

“Hati saya sentiasa berada dalam industri fintech. Apa yang menarik perhatian saya kepada Wahed adalah kerana Wahed menitikberatkan keterangkuman sebagai objektif perniagaan utamanya di peringkat global.

“Saya sangat berminat dengan keterangkuman kewangan melalui teknologi kewangan sejak saya mempromosikan idea keterangkuman kewangan untuk pembayaran tanpa tunai melalui E-Wallet di Malaysia.

“Kini kita boleh katakan yang pembayaran tanpa tunai melalui pelbagai kaedah termasuk E-Wallet sudah menjadi kebiasaan di sini. Saya tidak sabar untuk menjadikan jenama Wahed sebuah nama yang dekat di hati masyarakat dalam menyediakan perkhidmatan pelaburan untuk setiap lapisan rakyat Malaysia dan dengan itu, mencapai objektif kami untuk menyediakan keterangkuman dalam dunia kewangan,” kata Juliana.

Juliana akan memainkan peranan penting dalam membantu menerajui pertumbuhan Wahed di negara ini.

Wahed Malaysia telah menyediakan perkhidmatan kepada ratusan ribu pelabur ke platformnya.

Ia merupakan platform pengurusan pelaburan digital berlesen yang patuh Syariah.