KUALA LUMPUR: Pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd telah melepasi 100,000 pencapaian jualan pada suku ketiga tahun ini, dengan 102,353 unit dijual dalam sembilan bulan pertama 2022, melonjak 40.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Dalam satu kenyataan hari ini, Proton berkata, ia mempamerkan satu lagi bulan jualan domestik dan eksport yang kukuh pada September dengan sejumlah 14,872 unit, menyaksikan jualan bagi suku ketiga 2022 kepada 42,229 unit, menjadikan ia suku terbaik setakat tahun ini dan sekali gus membantunya melepasi satu benteng pencapaian yang penting.

"Ia merupakan tahun keempat berturut-turut sasaran 100,000 unit telah dicapai dan pada tahun ini, ia berlaku dua bulan lebih awal daripada tahun 2021.

Berbanding pesaingnya, Proton kekal di tempat kedua dalam jadual jualan dengan anggaran pegangan pasaran sebanyak 23.8 peratus untuk bulan September

"Keseluruhan Jumlah Volum Industri (TIV) bagi September dianggarkan menyusut kepada kira-kira 62,500 unit, jumlah keempat terbaik tahun ini yang mana pasaran automotif Malaysia dijangka mencatat tahun jualan terbaiknya," tambah kenyataan itu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Roslan Abdullah berkata, prestasi suku ketiga 2022 Proton dicapai hasil gabungan kestabilan dalam pengeluaran serta daya tarikan berterusan modelnya, terutamanya Proton Saga 2022 dan Proton X50.

"Oleh itu, walaupun permulaan tahun ini lemah, kami yakin dapat mencapai pertumbuhan jualan dua digit bagi tahun keempat berturut-turut,'' ujar beliau.

Selain memberi tumpuan pada pertumbuhan jualan, Roslan berkata, suku terakhir juga menyaksikan Proton membina asas untuk pertumbuhan masa depannya.

"Perjanjian Pengedaran Am dengan Automobile Co menetapkan kami untuk menjual kenderaan elektrik daripada jenama itu bermula pada tahun 2023 manakala pembentukan PRO-NET membuktikan komitmen Proton untuk membangunkan dan menawarkan kenderaan tenaga baharu pada masa hadapan," katanya.
- BERNAMA