Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya ketika mempengerusikan mesyuarat ke-33 Ahli Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) pada Khamis.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata mesyuarat turut membincangkan isu-isu berbangkit berhubung halatuju dan inisiatif yang telah digariskan bagi Iskandar Malaysia.
"Ia termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang akan memberi anjakan kepada ekonomi negara.
"Mengambil contoh ikhtiar pewujudan Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia-Johor, saya tekankan kepentingan keberkesanan pelaksanaan dari segi proses dan tempoh masa kelulusan sesuatu permohonan selaras dengan strategi kerajaan dalam memudahcara perniagaan," katanya dalam kemas kini di laman sosial hari ini.
Perdana Menteri menambah, dalam konteks Johor, pelbagai projek baharu dan sambungan yang diumumkan melalui Belanjawan 2025 perlu disambut dengan pelaksanaan segera dan berkesan.
Selain itu, ujar beliau Johor juga perlu memanfaatkan Kepengerusian ASEAN 2025 memandangkan beberapa mesyuarat akan dianjurkan di negeri tersebut.
"Natijahnya, limpahan manfaat hanya akan dapat dirasai melalui perancangan dan pelaksanaan yang bersepadu dan berkesan," kata Anwar.