KUALA LUMPUR: Persidangan Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) 2024 memperlihatkan keseriusan Malaysia dalam melaksanakan peralihan tenaga dan mencapai sasaran sifar karbon menjelang 2050.


Ringkasan AI
  • Persidangan Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) 2024 yang diadakan pada 20 hingga 21 Ogos di Kuala Lumpur Convention Centre menunjukkan komitmen Malaysia terhadap peralihan tenaga dan sasaran sifar karbon menjelang 2050. Dengan tema "Memperkasakan Peralihan Tenaga Melalui Inovasi," persidangan ini dihadiri oleh sekitar 5,000 pengunjung dari 43 negara, 70 pembicara, dan 60 pempamer. Fokus utama termasuk teknologi seperti hidrogen dan solar serta inovasi dalam sistem kewangan untuk menyokong peralihan tenaga. Ketua Pegawai Eksekutif SEDA Malaysia, Datuk Hamzah Hussin, menekankan perlunya tindakan segera untuk menangani kesan perubahan iklim seperti banjir dan kemarau yang semakin teruk. SEDA akan terus meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan peralihan tenaga. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan, pula menegaskan bahawa persidangan ini memberi peluang untuk berinteraksi dengan pakar industri global dan membentuk kerjasama dengan sektor teknologi dan kewangan dalam mencapai matlamat peralihan tenaga.


Persidangan kali Ke-6 diadakan itu juga menjadi platform jaringan yang menghubungkan pemain industri dan pengawal selia daripada pelbagai agensi Kerajaan yang membolehkan perkongsian polisi terbaharu berhubung peralihan tenaga.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, SEDA Malaysia, Datuk Hamzah Hussin, pihaknya menjangkakan seramai 5,000 pengunjung dari 43 buah negara menghadiri persidangan selama dua hari yang berlangsung pada 20 hingga 21 Ogos itu.

"Persidangan kali ini mengangkat tema 'Memperkasakan Peralihan Tenaga Melalui Inovasi' kerana selain teknologi, inovasi merupakan aspek penting yang boleh mempercepatkan kita (negara) mencapai sasaran 70 peratus tenaga boleh baharu pada 2050.

"Terdapat pelbagai pengisian dan topik telah disusun dalam empat 'Plenary Session' dan lapan 'Deep Dive Workshop' yang dihadiri 70 speaker dari dalam dan luar negara yang akan membincangkan topik peralihan tenaga seperti hidrogen, solar dan banyak lagi serta 60 pempamer terkemuka.

"Kita mengharapkan persidangan ini melahirkan idea-idea bernas berkaitan peralihan tenaga selain solusi penting seperti inovasi dalam sistem kewangan untuk membiayai peralihan tenaga yang juga akan dibicarakan," katanya kepada Astro AWANI di KLCC Convention Centre, pada Selasa.

Persidangan Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) 2024 memperlihatkan keseriusan Malaysia dalam melaksanakan peralihan tenaga dan mencapai sasaran sifar karbon menjelang 2050.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, peralihan tenaga boleh baharu memerlukan tindakan segera susulan kesan sosio ekonomi akibat perubahan iklim yang semakin ketara.

"Kita sedar atau tidak benda ini (perubahan iklim) sedang berlaku dan kita melaluinya setiap hari dimana banjir semakin kerap dan kemarau semakin teruk”

"Ini impak daripada perubahan iklim dan setiap tahun satu dunia berbicara bagaimana kita boleh menghadapi dan mengatasi isu tersebut, justeru SEDA akan terus memainkan peranan bersama Kerajaan untuk mempertingkatkan kesedaran kepada rakyat bahawa peralihan tenaga adalah satu kemestian," ujarnya.

Terdapat 30 pempamer terkemuka di ISES 2024.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, ISES 2024 memberi peluang kepada TNB untuk berinteraksi dengan pakar-pakar pemimpin industri dari dalam dan luar negara untuk mendengar dan bertukar fikiran tentang arah tuju peralihan tenaga.

"Melalui interaksi ini kita boleh mengambil pandangan dan intipati untuk kita laksanakan pada masa depan selain menyelidik sama ada perjalanan yang telah kita reka ini bertepatan untuk mencapai objektif yang telah dirangka.

"Selain itu, persidangan ini membuka ruang pembentukan kerjasama kerana peralihan tenaga tidak boleh dicapai dengan satu syarikat atau satu individu sahaja.

"Kita (TNB) berharap dapat membentuk kerjasama dengan penggiat industri yang lain seperti industri teknologi dan kewangan yang membawa kepada objektif yang ingin kita capai," katanya.