Indonesia telah bersedia untuk menjadi hab global bagi industri fesyen berkonsepkanIislamik.

Pereka fesyen di negara itu optimis fesyen berkonsepkan Islamik akan menjadi salah satu keunggulan Indonesia di pasaran global.

Sekaligus menjanjikan peluang ekonomi yang lebih baik kepada pereka yang menerokai industri kreatif berkenaan.

Kebanyakan pereka fesyen di Indonesia membuktikan fesyen berkonsepkan muslimah dan islamik bukanlah sesuatu yang membosankan.

Ini terbukti menerusi Minggu Fesyen Jakarta yang diadakan November tahun lalu, di mana ia mengangkat industri fesyen muslimah.

Minggu Fesyen Jakarta itu telah berjaya membuka mata penggemar fesyen khususnya masyarakat asing bahawa pakaian individu muslim itu tidak semestinya hitam.

"Kami berusaha untuk tidak menggunakan warna hitam pada jubah wanita dan mereka sesuatu yang menarik untuk mereka.” jelas Hannie Hananto, pereka fesyen terkenal di Indonesia.

Hannie yang bermula sejak 2004 merupakan antara ikon dalam pereka fesyen muslimah di Indonesia.

Selain Hannie, ramai lagi pereka muda Indonesia yang menyedari bahawa pasaran di Indonesia sangat luas selain pasaran luar negara yang berpotensi untuk ditembusi.

“Kami memiliki sekelompok pereka muda yang bersedia untuk menembusi pasaran di sini. Saya yakin dengan adanya sokongan dari kerajaan, Indonesia akan bertukar kepada Paris untuk fesyen muslim.” tambah Irna Mutiara pereka fesyen.

Industri fesyen Indonesia kini menyumbang hampir 50 peratus daripada pendapatan negara. Industri kreatif Indonesia kini bernilai lebih RM18 bilion.

Perniagaan fesyen Islam sangat besar kerana kuasa beli masyarakat yang tinggi , apatah lagi Indonesia memiliki majoriti penduduknya beragama Islam.