Penganjuran pertama Simposium Ekonomi Global (GES) di rantau Asia berjaya melakar sejarah serta kejayaannya tersendiri khususnya buat Malaysia selaku negara tuan rumah.

Sebaik sahaja GES 2014 yang sudah memasuki edisi ketujuh melabuhkan tirainya pada Isnin 8 September lalu, tumpuan beralih ke arah penganjur utama, Kiel Institute for the World Economy (ifW).

Presiden ifW, Profesor Dennis J Snower menyifatkan GES 2014 adalah satu kejayaan buat Malaysia apabila ia buat pertama kali dianjurkan oleh negara di rantau Asia.

Menurutnya lagi, pemilihan Kuala Lumpur selaku tuan rumah dalam penganjuran kali ini berlandaskan tema “Menstruktur Ekonomi, Mentransformasi Masyarakat”, di mana Malaysia sudah membuktikan kepakarannya berdasarkan model ekonomi yang dilaksanakan.

Beliau berpendapat, Malaysia berjaya melaksanakan pelan ekonomi menyeluruh ketika mengumumkan pelaksanaannya sebelum ini; seterusnya menyaksikan perubahan memberangsangkan dalam prestasi ekonomi negara yang dimanfaatkan rakyat pelbagai peringkat serta kaum.

“Malaysia dipilih bagi penganjuran GES 2014 dipengaruhi oleh tema yang akan digunakan tahun ini. Menstruktur Ekonomi, Mentransformasi Masyarakat adalah kepakaran Malaysia. Lebih penting Malaysia berjaya memenuhi keperluan serta sasaran yang ditetapkan.

“Mustahil untuk melakukan penstrukturan ekonomi tanpa mentransformasikan masyarakat sesebuah negara. Disokong pelan ekonomi menyeluruh Malaysia dengan memberi penekanan terhadap dasar 1Malaysia, ia berjaya dilaksanakan di negara ini,” katanya dalam satu temubual ekslusif bersama Astro Awani pada hari terakhir GES 2014 di sini, baru-baru ini.

Simposium ekonomi antarabangsa ini adalah anjuran bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM) disokong oleh ifW.

GES 2014 yang berlangsung selama tiga hari di Hotel Shangri La, ibu negara bermula 6 September lalu berjaya mengetengahkan 600 tokoh serta pakar dalam bidang masing-masing daripada lima benua.

Antaranya termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar; Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Tan Sri Azman Mokhtar; Pemenang Nobel Laureate sains ekonomi, Joseph Stiglitz dan Presiden Sidang Kemuncak Wanita Global Amerika Syarikat, Irene Natividad

Malaysia selaku tuan rumah GES 2014 berpeluang berkongsi pengalaman langkah kerajaan memperkenalkan model ekonomi yang memberi penekanan terhadap pembangunan mampan dalam menyokong keperluan masyarakat pelbagai latar belakang serta kaum di negara ini.

Ketika membincangkan topik berhubung tema GES 2014 Menstruktur Ekonomi, Mentransformasi Masyarakat, Abdul Wahid turut memberi penekanan terhadap cabaran serta kesan daripada langkah yang dilaksanakan bagi memastikan Malaysia mampu mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Selain itu, isu yang turut diketengahkan sepanjang simposium ekonomi dan sosial global itu termasuk cabaran mengembangkan sistem kewangan Islam serta potensi yang ditawarkan, pembangunan hab halal serta pembangunan mampan.

Beberapa cadangan turut dipertimbangkan bagi memastikan masalah yang dibangkitkan dapat ditangani dengan berkesan.

Majlis penutup bagi simposium ekonomi dan sosial peringkat global itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin.


Presiden ifW, Profesor Dennis J Snower ketika ditemuramah secara eksklusif oleh wartawan Astro AWANI, Najib Aroff   Read more at: http://www.astroawani.com/news/show/ges-2014-adalah-kejayaan-buat-malaysia-kiel-institute-43569?cp
Presiden ifW, Profesor Dennis J Snower ketika ditemuramah secara eksklusif oleh wartawan Astro AWANI, Najib Aroff