Program Generation of New Exporters (GenEX) mampu memperkasakan penglibatan golongan belia bumiputera dalam pasaran eksport.

Anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dengan kerjasama Generasi Muda Berjaya (GMB), ia diperkenalkan untuk memberi peluang kepada usahawan muda menembusi pasaran negara-negara TPP, FTA dan ASEAN.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata program sebegini akan melonjakkan lagi jumlah perdagangan negara ke arah mencapai unjuran sebanyak dua peratus tahun ini.

Tambah Mustapa, golongan usahawan muda boleh memberi fokus kepada pasaran ASEAN yang merupakan rantau dagangan terbesar.

“Saya bercadang untuk mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan saya daripada negara ASEAN, tentang bagaimana kita boleh tingkatkan pencapaian ASEAN dalam konteks integrasi ekonomi."

DATUK SERI MUSTAPA MOHAMED
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri

“Bumiputera dalam pasaran eksport masih lagi kurang dan ini satu isu yang perlu diberi perhatian khusus. Itu sebabnya kita beri dorongan kepada GMB untuk membawa usahawan muda (bumiputera) menembusi pasaran asing,” katanya selepas merasmikan GenEX di Menara MATRADE pada Khamis.

Sebagai agensi penggalakkan eksport negara, MATRADE akan memberi sokongan penuh dari segi peningkatan kapasiti buat peserta dalam program ini.

“Kita rasa usahawan muda mempunyai banyak potensi terutamanya dalam bidang-bidang yang mereka mempunyai kepakaran tertentu seperti bidang ICT, animasi, minyak dan gas dan bidang-bidang MRO."

DATUK DZULKIFLI MAHMUD
Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE

“Ini akan menambahkan lagi bilangan syarikat-syarikat yang dibantu oleh MATRADE untuk menerokai pasaran antarabangsa dan kita ingin mereka memberi tumpuan kepada pasaran di mana Malaysia mempunyai perjanjian perdaganan bebas seperti ASEAN dan TPP,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Dzulkifli Mahmud ketika ditemui Astro AWANI.

Melalui GenEX, GMB akan membuat pencarian 100 syarikat milikan belia di Malaysia yang memenuhi kriteria yang ditetapkan untuk menyertai program ini.

Di akhir program, 30 peserta akan dipilih untuk mula mengeksport produk atau perkhidmatan mereka ke lima buah negara Iaitu United Kingdom, Dubai, Singapura, Belanda dan Qatar.

“Kita akan pilih syarikat-syarikat yang mempunyai daya saing yang tinggi dan industri yang ada jumlah dan nilai yang besar."

AGIL FAISAL AHMAD FADZIL
Presiden Generasi Muda Berjaya

“Fokus kita untuk GenEX, kita bukan sahaja melihat kepada bidang makanan dan minuman, tetapi kita juga ingin melihat kluster-kluster lain seperti ICT, teknologi hijau, perkhidmatan dan sebaganya. Mereka mempunyai produk yang bagus yang perlu diketengahkan. Mereka ini ibarat mutiara yang perlu dikilatkan yang boleh dibawa ke luar negara,” kata Presiden GMB Agil Faisal Ahmad Fadzil kepada Astro AWANI.

Antara industri yang menjadi keutamaan adalah peruncitan, infrastruktur, komunikasi, minyak dan gas, pertanian dan asas tani, biotech, minyak kelapa sawit, elektrik dan elektronik, perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) dan logistik.

Tambah Dzulkifli, GenEX bukan sahaja akan memperkenalkan bakat-bakat baru dalam eksport tetapi turut menggalakkan perniagaan milikan belia negara mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.