CYBERJAYA: Kerajaan akan mengumumkan garis panduan untuk keberkesanan penggunaan kuasa (PUE) dan keberkesanan penggunaan air (WUE) di pusat data menjelang suku ketiga tahun ini untuk meningkatkan pelaburan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata garis panduan itu akan memastikan pusat data yang dibina di Malaysia memenuhi keperluan kemampanan minimum bagi mencapai pelepasan karbon bersih sifar menjelang 2050.

"Memandangkan pusat data menggunakan banyak kuasa dan air, kita mahu memastikan pusat data yang dibina di sini (di Malaysia) memenuhi keperluan minimum yang ditetapkan oleh institusi global.

"SIRIM dan Jabatan Standard Malaysia sedang dalam proses memuktamadkan (garis panduan itu), dan kami akan mengumumkannya pada suku ketiga tahun ini," katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah kampus kedua Vantage Data Centers (KUL2), di sini, pada Selasa.

Tengku Zafrul berkata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Digital dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk menambah baik ekosistem pusat data.

Sementara itu, Menteri Digital Gobind Singh Deo yang turut hadir pada majlis pecah tanah itu berkata dua cabaran utama pelaburan pusat data adalah kuasa dan air.

Beliau berkata, garis panduan yang sedang dibangunkan itu akan memastikan negara mempunyai bekalan kedua-dua sumber itu yang mampan dan mencukupi bagi tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang untuk menarik lebih banyak pelaburan.

Gobind berkata Kementerian Digital dan MITI sedang bekerjasama untuk menangani kebimbangan kecukupan bekalan air dan elektrik berikutan permintaan besar daripada pemain industri.

"Kita perlu terus menggerakkan usaha untuk memastikan kita boleh membangunkan Malaysia sebagai hab pusat data di rantau ini, terutamanya apabila kita menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025.

"Kita mahu menonjolkan Malaysia sebagai negara dengan dasar yang jelas yang menarik bukan sahaja bagi pelaburan pusat data tetapi semua pelaburan dalam ekosistem itu juga," katanya.

KUL2 Vantage yang terletak bersebelahan dengan kampus sedia ada di Cyberjaya akan mempunyai 10 kemudahan di kawasan seluas 256,000 meter persegi.

Kampus pusat data KUL2 yang bernilai US$3 bilion itu akan menyediakan kapasiti teknologi maklumat (IT) 256MW untuk memenuhi permintaan terhadap perkhidmatan pusat data hyperscale (sistem atau infrastruktur yang direka untuk meningkatkan dan mengendalikan sejumlah besar data, beban kerja atau permintaan pengguna).



-- BERNAMA