Menurut Ketua Ekonomi (Eropah) Standard Chartered, Sarah Hewin harga komoditi itu berada pada paras rendah berikutan pengeluaran yang berlebihan serta berterusan daripada negara anggota OPEC, Rusia dan Amerika Syarikat.
Justeru katanya faktor serta risiko geopolitik semasa tidak mempengaruhi situasi harga minyak mentah global.
"Disebalik kebimbangan faktor geopolitik di Asia Barat, kita melihat harga minyak kekal rendah dan kita tidak melihat situasi berkenaan memberi kesan terhadap pengeluaran minyak yang akan memberi kesan terhadap harga serta ekonomi global." ujarnya yang ditemui pada taklimat unjuran ekonomi dunia oleh Standard Chartered di sini pada Selasa.
Standard Chartered mengunjurkan harga minyak mentah global berada pada paras USD51 setong bagi suku pertama 2016.
Tambahnya lagi, untuk tempoh 2016 secara purata harga komoditi itu mampu mencecah USD63 setong.