Durian jenis Musang King dari Malaysia mendapat permintaan tinggi daripada masyarakat China sehingga pernah memenangi Anugerah Pertanian 10 Terbaik oleh stesen televisyen China, CCTV, pada 2013, kata pemenang anugerah itu, Sean Lee.

Beliau berkata selepas memenangi anugerah berkenaan keenakan rasanya, durian Musang King Malaysia terus menjadi bualan hangat masyarakat di China sehingga beliau berjaya memiliki sembilan kafe yang menjual manisan dan minuman menggunakan durian dari Malaysia di beberapa wilayah di China.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merasmikan kafe terbaru milik Sean yang dinamakan Mallove Dessert House di Vanke Mall, di sini pada Sabtu.

Menurut Sean, Mallove merupakan cantuman dan singkatan daripada perkataan Malaysia Love. Beliau mengusahakan syarikat tersebut melalui syarikat miliknya di China iaitu HBS International (Shenzen) Limited yang beribu pejabat di sini.

Dalam taklimat kepada Ismail Sabri pada pelancaran hari ini, Sean, yang berasal dari Kuantan, Pahang, berkata pada 2011, beliau mula menjual dan memasarkan pes durian Malaysia ke China namun sambutan yang diterima tidak begitu menggalakkan.

"Kerana tidak mahu pes durian yang saya bawa ke China rosak, saya menggunakan kreativiti sendiri untuk mencipta resepi pelbagai pemanis mulut berasaskan durian seperti kek durian dan pai durian. Sambutan yang diterima bagi manisan mulut yang dibuat dari durian Musang King Malaysia sungguh menggalakkan.

"Kafe saya yang pertama di Shenzen dibuka pada Disember 2012 dengan nama Dorena dan sambutan yang diterima sangat baik. Pada November 2013, kafe kedua saya dibuka dan ini diikuti dengan yang ketiga dan keempat. Kesemuanya di Shenzen. Kafe kelima di Guangzhou, keenam di Harbin, ketujuh di Shenzen dan kelapan di Dongguan," katanya.

Kini rangkaian kafe beliau menyajikan lebih 20 jenis pemanis mulut dan minuman yang dihasilkan menggunakan durian Musang King, D24 dan durian kampung dari Malaysia. Menu paling popular di rangkaian kafe milik beliau ialah pizza durian dan milkshake durian.

"Cabaran yang dihadapi saya sekarang ialah mendapatkan bekalan durian dari Malaysia secara konsisten dan memastikan pembungkusan pes durian dari Malaysia menepati piawaian yang ditetapkan pihak berkuasa China," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata durian Malaysia mempunyai pasaran besar di China dan kementeriannya akan berusaha memastikan bekalan durian kepada usahawan produk berasaskan durian Malaysia di China tidak putus.

"Bagi merebut peluang daripada pasaran luas dan permintaan tinggi untuk durian Malaysia oleh China, kementerian sudah pun melaksanakan kempen penanaman semula durian," katanya.

Ismail Sabri juga mahukan pengusaha produk berasaskan durian menjual durian Musang King hanya dalam bentuk dingin beku kerana rasanya yang begitu istimewa.