Bayaran dividen daripada syarikat petroleum negara, PETRONAS kepada kerajaan dijangka berkurangan kepada RM16 bilion bagi 2016 berbanding RM26 bilion tahun ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin, ia susulan unjuran harga minyak yang terus rendah di pasaran dunia bagi beberapa tahun akan datang.

“Kami menetapkan harga USD48 setong bagi bajet kami tahun depan. Kami sentiasa meletakkan penanda aras harga lebih rendah dari harga sebenar sebagai langkah berhemah,” katanya ketika mengumumkan prestasi kewangan suku ketiga kumpulan.

Beliau berkata harga semasa minyak sekitar USD50 setong dianggap sebagai harga normal baru bagi minyak dan setiap keputusan kewangan dan operasi kumpulan akan berlandaskan kepada harga tersebut.

“Kami akan sentiasa menyemak portfolio kami dari masa ke semasa terutama berkaitan pelaburan mahupun penyahpelaburan,” katanya sambil menambah prestasi kewangan suku ketiga sangat mencabar seperti yang telah dijangka.

Tidak Bercadang Buang Pekerja


“Kami berharap kejatuhan harga minyak tidak berpanjangan sehingga kami terpaksa mempertimbangkan pembuangan pekerja.”



Wan Zulkiflee pada masa sama berkata PETRONAS tidak bercadang membuang pekerja tetap sebaliknya melaksanakan insitatif penempatan semula tenaga kerja di kesemua bahagian perniagaan kumpulan terutama aktiviti hiliran.

PETRONAS mempunyai sekitar 51 ribu tenaga kerja di seluruh kumpulan sehingga kini.

“Kami berharap kejatuhan harga minyak tidak berpanjangan sehingga kami terpaksa mempertimbangkan pembuangan pekerja,” katanya.


Ketua-Ketua Eksekutif PETRONAS bersama laporan kewangan suku ketiga 2015.-Foto Astro AWANI
Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Datuk George Ratilal, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Wan Zulkiflee, Pengerusi Kumpulan, Tan Sri Sidek Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Hiliran, Md Arif Mahmood dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Huluan, Datuk Wee Yiaw Hin-Foto Astro AWANI

Bagi suku ketiga tahun kewangan 2015, kumpulan mencatatkan perolehan RM60 bilion, 25% lebih rendah berbanding tempoh sama tahun lepas.

Ia menjadikan perolehan 9 bulan pertama sebanyak RM188 bilion berbanding RM250 bilion tempoh sama tahun lalu.

Bagaimanapun keuntungan selepas cukai kumpulan (PAT) meningkat 38% bagi tempoh 9 bulan pertama, kepada RM24 bilion.

Bagi suku ketiga, syarikat merekodkan PAT RM1.4 bilion.