KUALA LUMPUR: CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad melancarkan kad debit Visa CIMB terbaharu yang dikhususkan kepada usaha membantu kanak-kanak palsi serebrum.

Inisiatif ini adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia, mengukuhkan komitmen CIMB dalam mewujudkan impak positif sosial dengan membantu golongan tersebut, dan pada masa sama meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap kondisi palsi serebrum.

Menerusi kempen ini, CIMB akan menyumbang RM2 kepada Gabungan Anak-Anak Palsi Serebrum (GAPS), sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang memperkasa kanak-kanak palsi serebrum menerusi peralatan rehabilitasi dan program-program pemerkasaan, untuk setiap kad debit Visa yang dikeluarkan.

Ia membolehkan GAPS terus beroperasi secara mampan dan kekal fokus dalam menyediakan keperluan kanak-kanak yang memerlukan dengan adanya sumbangan yang berterusan.

Sebagai sebahagian daripada komitmen kelestarian Bank yang lebih luas, ini juga merupakan kad debit pertama dihasilkan menggunakan PVC kitar semula yang diperbuat daripada bahan-bahan pascaindustri.

“Usaha-usaha ini mempamerkan komitmen kukuh dalam menyemai nilai keterangkuman dan kerjasama, menggalakkan lebih ramai masyarakat untuk tampil sama membantu golongan kurang berkemampuan.

“Inisiatif sedemikian bukan hanya meningkatkan kesedaran, malah mendorong tindakan secara bersama ke arah membangunkan masyarakat yang lebih prihatin dan inklusif,” kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, ketika majlis pelancarannya pada Selasa.

Dalam majlis yang juga bersempena Hari Orang Kurang Upaya Antarabangsa itu, CIMB turut menyerahkan sumbangan peralatan rehabilitasi kepada GAPS.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Pengguna dan Perbankan Digital Kumpulan CIMB, Effendy Shahul Hamid, mereka komited menjadi sebuah bank yang tidak hanya memacu pertumbuhan kewangan, tetapi juga menerajui inisiatif sosial, mengukuhkan komitmen memperkasa pelanggan dan masyarakat.

“Kerjasama ini mencerminkan keyakinan kami bahawa perubahan positif bermula di peringkat masyarakat.

“Dengan menyemai budaya keterangkuman, kami bermatlamat untuk menambah baik kehidupan setiap individu dan meningkatkan kebersamaan sosial dalam kalangan masyarakat secara menyeluruh.”

CIMB akan menyumbang RM2 kepada Gabungan Anak-Anak Palsi Serebrum (GAPS), sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang memperkasa kanak-kanak palsi serebrum menerusi peralatan rehabilitasi dan program-program pemerkasaan, untuk setiap kad debit Visa yang dikeluarkan

Presiden dan Pengasas GAPS, Rafidah Rafizah Ahmad, berbesar hati menyambut kasih daripada CIMB, menyatakan bahawa sokongan mereka melalui pembiayaan peralatan rehabilitasi dan aktiviti pemerkasaan secara ketara membantu meringankan beban.

Maklumnya, berdasarkan data GAPS, lebih 81 peratus keluarga yang mempunyai ahli keluarga dengan palsi serebrum tergolong dalam kumpulan B40.

“Keluarga yang menjaga individu palsi serebrum sering berdepan kesukaran berkaitan pendidikan khas, penjagaan kesihatan, kesejahteraan hidup, serta keperluan terhadap peralatan rehabilitasi khas yang melibatkan kos tinggi.

“Dengan sumber yang tepat, kanak-kanak ini mampu mencapai kecemerlangan dalam bidang minat masing-masing dan menjalani kehidupan yang lebih sempurna serta mampu mencapai potensi sebenar mereka.”

Selari dengan komitmen yang menggalakkan inisiatif sosial, CIMB memperkenalkan Hab Komuniti di cawangan-cawangan terpilih, meraikan 100 tahun perkhidmatannya kepada masyarakat dengan ruang untuk libat urus bermakna.

CIMB merancang untuk mengembangkan model itu ke cawangan-cawangan lain di seluruh negara bagi memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk terlibat sama dalam inisiatif-inisiatif bermakna dan menyokong masyarakat secara aktif.

Kad debit Visa CIMB kini boleh didapati di semua cawangan seluruh negara. Untuk maklumat lanjut, layari www.cimb.com.my/visadebit.

Untuk mengambil bahagian dalam Hab Komuniti CIMB, anda boleh kunjungi cawangan Plaza Damansara pada waktu operasi bank, atau hantarkan cadangan inisiatif komuniti anda di www.cimbfoundation.com/pwgrant.